XCL Education Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dengan Uni Enrol bagi memperluas peluang pendidikan tinggi untuk pelajar di rangkaian sekolahnya, termasuk Sri KDU International Schools, Sekolah Sri KDU dan REAL Schools.
Kerjasama ini mengintegrasikan platform Uni Enrol yang menawarkan lebih 3,000 laluan akademik melalui teknologi Pathway Match. Platform tersebut membantu pelajar dan ibu bapa meneroka pilihan universiti berdasarkan minat, kelayakan dan aspirasi, selain menyediakan akses kepada rangkaian lebih 250 universiti di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Uni Enrol, Rickson Khaw berkata, kerjasama ini menghubungkan sekolah dengan universiti terkemuka serta memudahkan pelajar mendapatkan bimbingan untuk merancang perjalanan pendidikan mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif XCL Education Malaysia, Anthony Partington menegaskan bahawa persediaan menghadapi masa depan bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi turut melibatkan bimbingan bagi membantu pelajar membuat keputusan yang tepat tentang hala tuju pendidikan mereka.
Antara manfaat kerjasama ini termasuk bimbingan permohonan universiti, peluang mendapatkan biasiswa, pemantauan status permohonan secara dalam talian serta bantuan berkaitan visa dan penginapan. Pelajar juga berpeluang menyertai pameran universiti, bengkel biasiswa dan program bimbingan kerjaya.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memudahkan peralihan pelajar daripada alam persekolahan ke pendidikan tinggi, di samping membuka lebih banyak peluang untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.














