Pembangunan Kerian Industrial City (KIC) di Dennistown dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Kerian, Perak menerusi peluasan sektor perindustrian, kemasukan pelaburan baharu dan penciptaan peluang pekerjaan.
Dengan keluasan 287 ekar serta nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM700 juta, KIC dijangka mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan. Pembangunan ini turut melengkapi kawasan perindustrian sedia ada dan menyediakan ruang bagi perkembangan industri yang lebih mampan.
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, KIC merupakan langkah strategik untuk memperkukuh ekonomi Kerian dan membuka peluang lebih luas kepada penduduk tempatan. Pembangunan ini juga selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk membina negeri yang maju dan berdaya saing.
Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak pula berkata, kedudukan KIC yang berhampiran institusi pendidikan dan kemahiran membuka peluang kerjasama industri, termasuk pengambilan tenaga kerja teknikal, jurutera dan pelatih industri.
Selain menyediakan peluang pekerjaan, KIC turut berpotensi membantu vendor, pembekal, kontraktor serta perusahaan tempatan menyertai rantaian bekalan industri. Menurut Pengarah Urusan Asia Bina Group, Dato’ Yong Chai Seng, kerjasama antara pemain industri dan perusahaan tempatan penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati masyarakat setempat.
Perancangan jalan baharu yang menghubungkan susur keluar Tol Bandar Baharu ke Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) juga dijangka meningkatkan akses logistik dan hubungan antara kawasan perindustrian. Bagaimanapun, jajaran serta jadual pelaksanaannya masih tertakluk kepada penelitian dan pengesahan pihak berkuasa berkaitan.
KIC merupakan sebahagian daripada rangkaian pembangunan ekonomi Perak bersama Automotive High Technology Valley (AHTV), Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Silver Valley Technology Park (SVTP) dan KIGIP, bagi memperkukuh pertumbuhan sektor automotif, teknologi, maritim, pembuatan serta industri hijau.














