Gantikan peralatan usang demi rawatan lebih selamat: Bantuan RM108,000 Yayasan Eco World pastikan kelangsungan hidup pesakit kurang berkemampuan.

Pengerusi Yayasan Eco World dan Ketua Pegawai Operasi Yayasan SJAM-KPS bergambar bersama sijil penghargaan di hadapan 2 unit mesin hemodialisis baharu

KLANG, 15 Oktober 2026 – Peningkatan kes kegagalan fungsi buah pinggang di Malaysia menuntut sokongan fasiliti rawatan yang selamat dan berdaya tahan. Menyedari hakikat itu, Yayasan Eco World menyumbangkan dua buah mesin hemodialisis moden bernilai RM108,000 kepada Yayasan SJAM-KPS bagi menggantikan mesin berusia hampir 20 tahun di Pusat Hemodialisis SJAM-KPS Klang (Stesen 1). Penyerahan rasmi disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye, kepada Ketua Pegawai Operasi Yayasan SJAM-KPS, Dato’ Yeo Kim Thong.

Berdasarkan Laporan Ke-33 Daftar Renal Kebangsaan 2025, seramai 50,833 daripada 57,638 pesakit buah pinggang di Malaysia menjalani rawatan hemodialisis, dengan diabetes (53.9%) dan hipertensi (31.7%) kekal sebagai penyumbang utama. Pusat dialisis kendalian pertubuhan bukan berasaskan keuntungan seperti SJAM-KPS kini menampung hampir 15 peratus keseluruhan pesakit dialisis negara, sekali gus menjadi sandaran utama golongan B40 dan M40 bagi mendapatkan rawatan bersubsidi yang mampu milik.

Sumbangan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan mesin daripada Yayasan Eco World kepada SJAM-KPS mencecah lima unit dengan nilai RM245,500 sejak tahun 2018. Pihak SJAM-KPS menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan sektor korporat yang membolehkan mereka mengekalkan kualiti rawatan berterusan bagi pesakit kronik di 13 cawangan seluruh Selangor, Perak, Melaka, dan Sarawak.

Beberapa orang pesakit sedang menjalani rawatan buah pinggang di kerusi rawatan Pusat Hemodialisis SJAM-KPS