Perbadanan Perpustakaan Awam Johor promosikan Malaysia #QuranHour

Perbadanan Perpustakaan Awam Johor promosikan Malaysia #QuranHour

Gerakan kempen #QuranHour anjuran WUIF membolehkan orang ramai menghayati dan memahami surah Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr. Gambar kecil: Ungku Noorakmal

Gerakan kempen #QuranHour anjuran WUIF membolehkan orang ramai menghayati dan memahami surah Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr. Gambar kecil: Ungku Noorakmal

SHAH ALAM – Sebagai rakan sinergi dalam penganjuran Malaysia #QuranHour bagi tahun 2023, Perbadanan Perpustakaan Awam Johor turut sama membuat hebahan kepada jabatan lain di negeri Johor bagi merancakkan program tersebut yang bakal diadakan pada pada 30 Ogos ini.

Menurut Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman, setakat ini sebanyak 17 buah perpustakaan yang akan terlibat dalam Malaysia #QuranHour termasuk perpustakaan pusat dan 16 cawangan.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya akan mempromosikan program tersebut di jabatan-jabatan lain seperti Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

“Kami sangat gembira kerana dapat sama-sama menjayakan program ini malah semua perpustakaan awam di seluruh Malaysia juga akan turut serta. Untuk tahun 2023, kami akan sambut Malaysia #Quran Hour di Masjid Al-Asmau’ul Husna, Bandar Baru Uda.

“Biasanya kami turut mempromosikan program Malaysia #Quran Hour sejak terlibat pada 2014 dan ia masih diteruskan untuk tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambah Ungku Noorakmal, melalui program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu, orang ramai dapat menghayati dan memahami surah al-Insan.

“Ia selari dengan tema yang diketengahkan iaitu ‘Memanusiakan manusia’.

“Memanusiakan manusia suatu tema yang amat relevan sekarang ini memandangkan nilai kemanusiaan semakin terhakis dengan gaya hidup, dan pandangan dunia yang dibawa oleh Barat,” jelasnya.

Beliau memberi contoh, antaranya gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang sangat berleluasa sekarang ini.

Sementara itu, Program Malaysia #QuranHour diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi surah Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr.

Lokasi perdana bagi Malaysia #QuranHour akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 12 hingga 1 tengah hari, pada Rabu ini selain ia turut dilaksanakan di beberapa lokasi utama di seluruh negara.

Sumber