Norman Hakim mulakan ‘Quran Hour’ di rumah untuk ke syurga

Norman Hakim mulakan ‘Quran Hour’ di rumah untuk ke syurga

GOMBAK – Pelakon Norman Hakim menyeru orang ramai agar menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai satu kelaziman.

Duta kempen World #QuranHour itu berkata, dengan amalan tersebut ia dapat mempersiapkan diri setiap manusia dalam misi membina syurga di akhirat kelak.

“Saya adakan ‘Quran Hour’ di rumah dan dari rumah menjadi satu panduan netizen di luar sana melalui perkongsian di media sosial.

“Kita sama-sama bina syurga di rumah dalam misi untuk membina rumah di syurga pada masa akan datang. Jadi al-Quran merupakan platform terbaik kita menuju ke syurga.

“Saya harap bukan saya sahaja tetapi semua masyarakat juga perlu ambil iktibar,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau ditemui di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, selepas berakhir program World #QuranHour.

Penganjuran tahun keempat itu mengangkat tema Solusi Cabaran Sejagat dengan mengajak masyarakat untuk memahami empat cabaran dunia akhir zaman dan solusi yang diibrahkan daripada Surah Al-Kahf. Kira-kira 3,000 orang bersama-sama mengalunkan bacaan al-Quran di UIAM sebagai lokasi perdana.

Dalam pada itu, pelakon utama drama bersiri Gerak Khas ini berharap agar kempen World #QuranHour diteruskan secara konsisten.

“Kempen bukan secara bermusim diadakan sepanjang tahun supaya generasi muda lebih sedar tentang ada #QuranHour,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *