Melepaskan pencuri dengan syarat

ISLAM amat menitikberatkan keharmonian dalam kehidupan. Ia merupakan salah satu maqasid syariah yang diterapkan dalam agama yang suci itu iaitu antaranya menjaga nyawa dan harta manusia.

Oleh itu, dalam perundangan syariat Islam, ada peruntukan hukuman jenayah syariah. Ia satu usaha untuk menjamin masyarakat hidup dalam keadaan terbela daripada penganiayaan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Bayangkan jika manusia hidup tanpa peraturan dan undang-undang, pasti masyarakat akan hidup dalam keadaan tidak tenang dan porak-peranda kerana nyawa dan harta mereka tidak dijamin selamat.

Disebabkan itu, seseorang yang melakukan jenayah seperti mencuri berhak mendapat hukuman daripada pihak berkuasa jika disabitkan kesalahan.

Namun, kesalahan seseorang itu boleh ‘dikesampingkan’ iaitu tidak ditangkap dan dihukum atas kesalahan jenayah, tetapi perlu memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama.

Perkara seperti itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang mana seorang sahabat bernama Abu Hurairah RA dimandatkan oleh baginda untuk menjaga harta zakat.

Syarat

Pada satu malam, beliau menangkap seseorang yang cuba mencuri harta zakat itu. Bagaimanapun, beliau melepaskan pencuri itu tanpa dibawa ke muka pengadilan kerana individu itu merayu agar dirinya dilepaskan disebabkan kesusahan dan kemiskinan yang dihadapi.

Bagaimanapun, percubaan mencuri oleh individu yang sama berlaku sebanyak tiga kali. Maka Abu Hurairah mengambil keputusan, kali ini beliau tidak akan melepaskan pencuri itu dan akan dibawa di hadapan Rasulullah SAW untuk dijatuhkan hukum.

Lalu pencuri itu sekali lagi merayu kepada Abu Hurairah agar beliau diberi peluang lagi dan berjanji akan mengajar satu ayat yang jika dibaca oleh seseorang sebelum tidur, mereka akan berada di bawah jagaan ALLAH iaitu tidak akan diganggu oleh syaitan sepanjang malam.

Peristiwa itu kemudiannya dikhabarkan kepada Rasulullah SAW, lalu baginda menyatakan pencuri itu ialah syaitan yang menjelma dalam bentuk manusia.

Berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari itu, para ulama menyatakan, boleh melepaskan si penjenayah yang melakukan kesalahan asalkan mendapat keredaan pemerintah.

Selain itu, jika penjenayah itu dilepaskan, ia tidak merugikan mangsa. Sebagai contoh, mangsa mencuri itu tidak kehilangan barang yang dicuri iaitu mesti dipulangkan semula atau diganti.

Jika barangan yang dicuri itu sudah musnah dan penjenayah itu ingin dilepaskan, maka mestilah mendapat keredaan mangsa iaitu beliau memaafkan penjenayah dan menghalalkan barang yang dicuri itu.

Matlamat tidak halalkan cara

Dalam kisah yang tular di media sosial baru-baru ini, seorang lelaki tertangkap akibat mencuri dua buku roti yang berharga kurang dari RM10 di sebuah pasar raya terkemuka.

Walaupun sudah dibawa ke balai polis oleh pengawal keselamatan pasar raya berkenaan, namun lelaki itu dilepaskan kerana beliau mengaku bertindak demikian kerana kesusahan hidupnya.

Bukan sahaja dilepaskan, bahkan ketua balai polis berkenaan sanggup membayar ganti rugi dua kali ganda daripada harga roti berkenaan kepada pasar raya berkenaan.

Melihat kepada kes itu, apa yang dilakukan oleh pegawai polis itu adalah satu usaha yang murni dan terpuji.

Tindakan pegawai polis membebaskan lelaki itu dan menggantikan barang yang dicuri kepada tuannya adalah sesuatu perkara yang diharuskan oleh syarak kerana ia menepati syarat-syarat yang dinyatakan di atas.

Namun, si pencuri itu tidak sepatutnya menggunakan alasan kemiskinan untuk mencuri kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Sepatutnya, beliau perlu berusaha mencari bantuan daripada rakan, sanak saudara atau badan-badan yang berautoriti seperti lembaga zakat dan pusat kebajikan masyarakat.

***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis buku.



Sumber

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *