Masjid Felda Air Hitam lokasi utama World #QuranHour di Johor

Inspirasi Destinasi Menarik Percutian Impian > GAYA HIDUP > Masjid Felda Air Hitam lokasi utama World #QuranHour di Johor

Masjid Felda Air Hitam lokasi utama World #QuranHour di Johor

JOHOR BAHRU – Program World #QuranHour 2022 di negeri ini memilih Masjid Darul Salam Felda Air Hitam, Kluang sebagai lokasi utama penganjuran program pada 26 April ini.

Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Johor, Roziah Kamal berkata, buat julung kalinya World #QuranHour di negeri ini diadakan di luar Johor Bahru bagi memberikan kelainan.

Katanya, Felda Air Hitam yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap merupakan kawasan yang diwakili Menteri Besar Johor yang baharu iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Selama ini program World #QuranHour diadakan di Johor Bahru tetapi tahun ini diadakan di kawasan DUN Menteri Besar Johor sebagai tanda sokongan kepada beliau.

“Program tersebut dijangka dihadiri oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid.

“Selain itu terdapat15 ‘hotspot’ atau lokasi di seluruh negeri akan bersama World #QuranHour pada 26 April ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Roziah berkata, QuranHour kini mempunyai pengikutnya sendiri selepas beberapa tahun dianjurkan menerusi Malaysia#Quran Hour dan World#Quran Hour dengan pendekatan membudayakan al-Quran.

“Syukur, selepas beberapa tahun program QuranHour dianjurkan, sudah ada pengikutnya. Di Johor sahaja sudah ada lebih 180 rumah ngaji.

“Membudayakan al- Quran juga sudah semakin meningkat. Rumah Ngaji membawa tadabur sebagai pendekatan ummah. Jika lima tahun sebelum ini, perkataan tadabur mungkin kurang didengari, namun kini ramai sudah memahaminya.

“Rumah ngaji merupakan perintis kepada perkataan tadabur dan program tadabur itu sendiri,” katanya.

Tambah Roziah, Rumah Ngaji Johor di Jalan Camar 8, Taman Perling di sini menggunakan media sosial sebagai medium bagi penganjuran program dan kelas mengaji.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), media sosial digunakan 100 peratus. Banyak kelas secara online diadakan ketika pandemik Covid-19 dan diteruskan sehingga kini.

“Pada bulan Ramadan ini World #QuranHour diadakan, kami merasa cukup bertuah kerana dapat menyertainya,” katanya.

World #QuranHour bakal diadakan pada 24 Ramadan 1443H, bersamaan Selasa, 26 April 2022.

Ia merupakan sebuah gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis (Thematic & Reconstruct) dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Malaysia ke seluruh dunia.

Surah Al-Sajdah dipilih untuk dikaji dan dibumikan bersempena World #QuranHour 2022. Matlamat Surah Al-Sajdah adalah menjadi panduan untuk penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat Dunia Berbudi & Penyayang.

Sumber