Malaysia #QuranHour: Penyertaan bertambah saat akhir

Malaysia #QuranHour: Penyertaan bertambah saat akhir

IPOH – Penganjuran Malaysia #QuranHour peringkat negeri Perak di Dewan Jubli Politeknik Ungku Omar (PUO) pada Rabu ini menerima sambutan luar jangkaan dengan penyertaan mencecah 1,200 orang setakat Isnin.

Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, pertambahan peserta diterima daripada pelajar dan pensyarah politeknik itu sendiri.

“Sebelum ini kita jangkakan hanya 800 peserta sahaja termasuk peserta Rumah Ngaji yang ada di sekitar Ipoh.

“Alhamdulillah, pada saat-saat akhir kita dimaklumkan, ramai pelajar dan pensyarah mahu turut sama mengimarahkan program ini dengan penyertaan 630 pelajar dan 300 pensyarah.

“Pertambahan ini sangat dialu-alukan memandangkan Dewan Jubli PUO itu sendiri besar dan mampu memuatkan kapasiti 1,500 orang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, setiap pelajar yang menyertai Malaysia #QuranHour kali ini akan menerima senaskah al-Quran daripada penyumbang al-Quran wakaf, Yayasan Pendidikan Maahad Tahfiz al Quran Wal Qiraat Adddin Perak dan Yayasan Ade Azhar.

“Dengan penganjuran ini menjadikan PUO sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) kedua di Perak selaku tuan rumah Malaysia #QuranHour selepas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Akademik) PUO, Dr Izwah Ismail berkata, persiapan program telah mencapai 95 peratus.

Katanya, PUO telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi melancarkan program disertai jabatan terlibat antaranya Jabatan Kejuruteraan Mekanikal yang bertindak sebagai pengarah program, Jabatan Kejuruteraan Elektrik bagi pemilihan peserta dan Jabatan Kejuruteraan Awam untuk pengurusan acara.

“Kita juga melibatkan Unit Instruksional dan Multimedia serta Unit Pembangunan dan Senggaraan yang bertanggungjawab dalam aspek teknikal sepanjang program berlangsung,” katanya.

Beliau berkata, PUO turut melakukan penstriman langsung program Malaysia #QuranHour menerusi platform media sosial Facebook dan Youtube bagi memberi liputan meluas kepada pelajar lain.

Tambahnya, penglibatan PUO sebagai tuan rumah membuktikan sokongan mereka sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terhadap program-program berbentuk kerohanian.

“Pelajar-pelajar kita walaupun mereka dalam bidang kejuruteraan tetapi ramai antaranya daripada sekolah tahfiz dan terlibat dalam hafazan.

“Jadi program ini sangat bertepatan dengan usaha PUO mewujudkan suasana harmoni serta menggalakkan pelajar kembali kepada al-Quran,” katanya.

Malaysia #QuranHour kali ke-9 pada 30 Ogos bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang ini mengangkat tema Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi surah al-Fatihah, surah al-Insan dan surah al-Asr.

Sumber