It’s Done….tagline tuah Eina

It’s Done….tagline tuah Eina

JIKA anda salah seorang pengikut laman sosial Instagram @eina_azman milik selebriti Datin Paduka Ainur Syakina Azman atau lebih mesra disapa Eina pasti biasa mendengar tagline, Its Done…pada hujung video masakan beliau.

Menariknya, ibu muda kepada pasangan kembar Karl Kareef dan Arianna Aubrey berusia tiga tahun itu bukan sekadar berkongsi rakaman hasil sajian daripada air tangannya, bahkan turut menunjukkan satu persatu bahan yang digunakan. Ia termasuklah, mempamerkan cara-cara menu berkenaan dimasak.

Tagline manja Its Done… itu kemudian menjadi fenomena apabila menjadi ikutan ramai wanita yang memuat naik rakaman video masakan media lalu menyebut perkataan dengan nada yang sama seperti Eina.

Isteri kepada Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah itu melahirkan keterujaan dan dan terharu apabila perkara positif yang dikongsikan beliau menjadi ikutan khususnya dalam kalangan wanita. Bicara Eina, tindakan beliau memuat naik video masakan dalam Instagram bukan untuk berlagak ataupun menunjuk-nunjuk.

“Matlamat saya adalah untuk menyeru golongan wanita terutamanya generasi muda supaya mengubah persepsi bahawa ilmu memasak hanya perlu dipelajari selepas berkahwin.

“Walhal, proses belajar memasak sewajarnya dipraktikkan pada usia remaja. Namun begitu, ini tidak bermakna apabila sudah mendirikan rumah tangga atau dewasa disifatkan terlewat untuk mahir di dapur,” jelas Eina berusia 24 tahun ketika ditemui pada majlis pengumuman beliau yang dilantik sebagai Duta Maggi Cukup Rasa dan Kempen Tak Kenal, Tak Cinta Maggi Cukup Rasa di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelakon filem Ratu The Movie itu menambah, dalam menjalani kehidupan yang serba moden ini para wanita perlu berani dan berusaha. Bagi Eina lebih baik terlewat dan mencuba daripada tidak mencuba langsung.

Bagaimanapun, anak saudara kepada penyanyi Juliza Adlizan Abdul Rafar itu memberitahu, sebelum mahir memasak beliau pernah dihalang masuk ke dapur oleh ibunya, Amy Roshaida Abdul Rafar, 47, dan nenek. Mengapa?


Ikuti perkongsian menarik Eina ketika ditemui wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF.

1. Jika melayari laman sosial Instagram peribadi @eina_azman boleh dikatakan hampir setiap hari anda memuat naik video masakan hidangan untuk ahli keluarga. Adakah minat memasak ini timbul selepas anda mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos 2014?

EINA: Oh tidak. Minat memasak tersemai sebaik sahaja menginjak usia 13 tahun. Pada ketika itu, saya kerap membantu mummy dan tok (nenek) menyediakan bahan-bahan masakan di dapur seperti mengupas bawang, memotong sayur dan mengenal pasti rempah ratus, bahan mentah serta jenis ikan.

Bagaimanapun, kebiasaannya belum sempat melihat mummy atau tok memasak, mereka akan meminta saya meninggalkan dapur dengan segera. Ia berpunca dengan sikap saya yang terlalu clumsy (kekok) sehingga pinggan pecah, barang jatuh sana sini, tangan luka dan kadangkala masakan hangus.

Justeru, bimbang akan keselamatan diri saya, maka jalan terbaik saya ‘disekat’ masuk dapur sekitar usia tersebut (ketawa).

2. Adakah larangan masuk ke dapur menyebabkan anda berputus asa dan kecewa untuk meneruskan minat mempelajari ilmu masakan?

Secara jujurnya tidak kerana saya seorang yang positif dan sentiasa berusaha mencapai perkara dihajati. Dek terlalu minat untuk memasak, saya tekad jua belajar dan masuk dapur.

Alhamdullilah, berkat usaha dan tunjuk ajar daripada mummy, akhirnya saya berjaya masak menu pertama iaitu ayam masak lemak cili padi pada usia 16 tahun tanpa bantuan sesiapa.

Apa yang melucukan, kepekatan dan warna lauk ayam masak lemak itu tampak sempurna, namun gagal mencapai piawaian mummy kerana rasanya tawar meleset. Jika dijual sajian itu saya pasti tiada siapa ingin membeli.

Bertitik tolak daripada momen tersebut, saya semakin bersemangat untuk memasak dan membaiki kelemahan supaya setiap hari ahli keluarga menjamu selera daripada air tangan saya sendiri.

3. Bagaimana anda memenuhi selera dan menjaga cita rasa lidah suami? Adakah beliau seorang yang cerewet dalam memilih makanan?

Keterujaan saya pada bidang masakan semakin bercambah selepas berkahwin gara-gara sikap sikap suami yang gemar makan dan menghargai setiap sajian disediakan. Beliau tidak cerewet dalam memilih makanan, sebaliknya sentiasa mendorong saya belajar pelbagai resipi menarik khususnya masakan Indian dan Sikh.

Diakui, pada fasa awal perkahwinan suami kurang menggemari masakan Melayu kampung kerana lebih cenderung menikmati kari ala India. Beliau berketurunan Sikh maka saban hari kari menjadi menu wajib dihidangkan di atas meja. Bagaimanapun, selera suami berubah selepas menikmati juadah ayam masak lemak cili padi air tangan saya.

Sejak itu, lidah beliau semakin serasi dengan lauk-pauk dan manisan tradisional Melayu kampung masakan saya sendiri sehingga suami kurang gemar makan di luar. Jika dihitung, secara purata lima hari seminggu saya akan masuk dapur dan sanggup menghabiskan waktu antara dua hingga tiga jam sehari demi menyediakan hidangan buat suami, anak-anak dan pembantu rumah.

Disebabkan kerap memasak pelbagai menu maka terhasil lebih 1,000 video berserta hashtag #ItsdonebyEinaAzman untuk perkongsian bersama para pengikut setia dalam Instagram.

4. Jika dilihat anda bukan sahaja memasak di rumah, bahkan turut ‘berperang’ di dapur apartment ketika bercuti luar negara. Mengapa tidak menikmati hidangan di restoran negara yang dikunjung?

Prinsip hidup saya sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua anak tidak terbit istilah ‘dapur cuti’ apabila kami sekeluarga bercuti baik di dalam mahupun luar negara.

Saya lebih puas menyediakan hidangan untuk mereka, apatah lagi suami wajib makan nasi setiap hari. Atas faktor tersebut acap kali melancong saya akan pastikan kami menginap di apartment dilengkapi dapur bagi memudahkan saya memasak.

Sehubungan itu, sebelum bercuti, saya akan mengenal pasti pasar atau kedai di sesebuah negara itu yang menawarkan bahan mentah dan produk halal. Kadangkala saya turut membawa barang kering dari Malaysia.

5. Anda mengangkat ibu sebagai idola dan guru masakan terbaik. Selain berkongsi resipi adakah beliau turut menitipkan pesanan yang menjadi pegangan anda sehingga kini?

Pada usia remaja, mummy selalu berpesan supaya rajin ke dapur dan mahir memasak. Tutur mummy tiada gunanya memiliki wajah cantik, tetapi tidak pandai memasak kerana nilai seorang wanita itu turut diukur dari sudut masakan.

Kemudian, selepas bergelar isteri mummy menyatakan sekiranya ingin memikat hati keluarga dan suami kita kena ‘ikat’ perut mereka terlebih dahulu. Justeru, saya akan menyediakan apa sahaja menu yang mereka inginkan tanpa mengira masa dan lokasi. Jika sajian itu luar daripada kepakaran saya akan berusaha dan belajar. Apabila keluarga dan suami khususnya berselera dan kenyang, saya akan berasa bahagia.

6. Segelintir netizen berpendapat anda mampu memasak variasi menu setiap hari kerana tugas-tugas menyediakan bahan merupakan tanggungjawab pembantu rumah. Justeru, apakah komen anda terhadap persepsi sedemikian?

Tanggapan itu tidak benar kerana tugas pembantu adalah membantu mengemas kediaman dan memantau Karl dan Aubrey. Dapur merupakan bahagian yang dikendalikan oleh saya sepenuhnya.

Daripada proses membeli barang di pasar, membersihkan bahan mentah, menumis dan memasak semuanya saya lalukan sendiri. Bukan tidak mempercayai mereka, tetapi pembantu rumah merupakan warganegara Indonesia dan Filipina. Jadi tidak mahir memasak sajian Melayu.

Bagaimanapun, saya tidak pernah mengambil hati kata-kata netizen. Setiap kritikan yang dilemparkan menjadi pemangkin untuk saya lebih bereksperimen pelbagai menu.

Pernah pada suatu ketika saya berasa sedih dengan kutukan warga net, namun lama-kelamaan saya terfikir mengapa perlu mengambil serius persepsi orang lain. Setiap individu memiliki kemahiran dan teknik memasak tersendiri.

Atas faktor itu, saya turut menyelitkan hashtag #CaraSayabyEinaAzman pada setiap video masakan yang dimuat naik dalam Instagram peribadi @eina_azman.

—————————-

ANEKDOT

Nama penuh: Datin Paduka Ainur Syakina Azman

Nama pentas: Eina Azman

Umur: 24

Asal: Temerloh, Pahang

Suami: Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah

Anak: Karl Kareef dan Arianna Aubrey

Kerjaya: Pelakon, penyanyi, model, usahawan dan duta

Drama dan filem dibintangi: 5 Jingga, Mimpi Cinderella, Suri Hati Mr. Pilot, Doa Ku Mohon dan Rahsia Hati Perempuan serta Ratu The Movie, Sesuatu Yang Tertinggal dan Zombie Kilang Biskut

Instagram: @eina_azman

Jumlah pengikut: 1.7 juta

Masakan kegemaran: Ayam masak lemak

Jumlah terbesar sajian dimasak: 20 ekor ayam masak rendang

Jumlah video masakan dimuat naik: >1,000 video



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *