‘Bukan Syawal terakhir buat Aimi’

‘Bukan Syawal terakhir buat Aimi’

KANSER merupakan satu penyakit yang sangat ditakuti semua. Penyakit itu memang sangat pelik. Barangkali pada hari ini, seseorang itu nampak sihat walafiat, esok lusa dia terlantar di hospital.

Ada yang cepat mengalah, namun lebih ramai yang memiliki sikap juang yang tinggi. Antara yang mempunyai sikap itu ialah seorang wanita hebat, Wan Musfirah Aimi Wan Supian, 35, atau Aimi yang merupakan penghidap kanser payudara tahap empat.

Beliau dilihat cekal meskipun sudah kehilangan payudara sebelah kiri selepas membuangnya beberapa tahun lalu bagi mengelak ia merebak ke anggota badan yang lain. Perkhabaran duka itu diterima pada tahun 2015.

Pun demikian, dia cukup kuat. Baginya, kanser bukan penghalang untuknya meneruskan kehidupan dan mengulit rasa bahagia bersama keluarga tersayang.

Ikuti perkongsian beliau dengan Femina bagaimana beliau melalui kehidupan tanpa rasa takut dan terus berjuang demi anak-anak dan orang tersayang.

1) Setiap manusia akan diuji dengan ujian yang berbeza, ada yang mampu ditangani bahkan sebaliknya. Puan telah diuji dengan kanser, bagaimana perasaan ketika disahkan perkhabaran duka itu?

Sejak awal lagi, saya sudah dapat teka apa yang bakal diperkatakan oleh doktor. Memang hati rasa tak sedap pada waktu itu. Saya cuba kuatkan hati dan perasaan. Namun, saya sedikit tewas, perkhabaran itu betul-betul buat saya jadi lemah.

Tiba sahaja di rumah, saya bertindak mengurungkan diri. Dua hari saya bermain dengan perasaan antara percaya atau tidak, saya menangis sepuas-puas hati. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.

Selepas dua hari, saya mula mencari kekuatan dan bangkit. Saya nekad untuk meneruskan kehidupan normal. Saya mahu buktikan kepada dunia bahawa saya seorang yang kuat demi suami dan anak-anak.

Saya tidak pernah terfikir untuk terus menyendiri dan melarikan diri, sebaliknya saya sedaya upaya mencari jalan melawan sel kanser dalam diri saya. Selepas berbincang dengan pakar, dia mencadangkan saya menjalani pembedahan membuang payudara sebelum ia merebak.

Berat rasanya cadangan itu, jadi saya ambil masa enam bulan untuk bersedia dari segi mental dan fizikal. Selepas menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur, akhirnya saya reda dengan ‘kehilangan’ itu.

Suami dan anak-anak merupakan insan yang paling terkesan dengan ujian yang melanda puan, jadi bagaimana pula dengan penerimaan mereka? Saya membuat keputusan untuk berterus-terang dan mereka menerimanya meskipun sangat terkejut pada awalnya.

Suami paling terkesan, dia memang sukar terima kenyataan. Lama juga masa dia ambil untuk reda dengan ketentuan-Nya. Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan suami dan anak-anak yang menyayangi saya, setiap kali rawatan mereka akan teman saya.

Cuma mereka akan menangis setiap kali saya ke hospital dan pulang sebaik menjalani rawatan kimoterapi. Perasaan itu normal buat keluarga pejuang kanser seperti saya. Pun begitu, saya seboleh-bolehnya cuba menyembunyikan kesakitan, saya tak mahu mereka pandang saya negatif.

Ya, saya perlukan aura yang positif. Bila sakit, saya akan menyendiri dalam bilik tidur. Jadi, mereka faham saya tidak mahu diganggu. Selain keluarga, ibu bapa juga tidak putus-putus memberi sokongan dan bantuan dari segi kewangan meskipun mereka sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Saya bertuah dikelilingi mereka yang positif dan tidak putus-putus memberi semangat sama ada melalui doa dan juga tindakan.

2) Pada waktu malam sebelum tidur, adakah puan pernah terfikir andai kata keesokan harinya suami dan anak-anak akan kehilangan anda selama-lamanya?

Tipu jika saya katakan perasaan itu tiada. Persoalan itu sebenarnya selalu bermain dalam fikiran saya lebih-lebih lagi bila saya mengalami kesukaran untuk tidur. Kesukaran itu muncul bila rasa sakit yang melampau pada bahagian tulang belakang.

Sebenarnya jauh di sudut hati, saya sudah bersedia jika ALLAH mahu menjemput ajal ketika tidur. Saya hanya hamba-Nya, saya kena reda. Begitu juga dengan suami dan anak-anak saya.

Keadaan saya ketika ini sangat lemah sejak terkena denggi hinggakan suami tidak sanggup meninggalkan saya bersama anak-anak di rumah. Jadi, dia ambil keputusan untuk menunaikan solat tarawih di rumah, di sebelah katil saya.

Saya nampak dia begitu takut kehilangan saya. Paling terkesan apabila anak-anak pernah meluahkan rasa tidak sanggup kehilangan saya jika saya dijemput ILLAHI. Saya jelaskan kepada mereka lumrah kehidupan sebenar. Saya sakit atau tidak, ajal pasti datang.

3) Adakah puan pernah terfikir andainya Aidilfitri atau Ramadan kali ini merupakan yang terakhir?

Ya, persoalan ini sentiasa bermain-main dalam fikiran saya sejak kebelakangan ini. Pun begitu, saya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana ajal kita hanya ALLAH sahaja yang tahu.

Saya akui sejak disahkan kanser pada 24 Januari 2015 lalu, Aidilfitri sangat suram buat saya dan keluarga. Lebih-lebih lagi sejak saya disahkan kanser tahap empat. Kebetulan pula, saya baru melakukan rawatan kimoterapi pada 1 Ramadan lalu yang mana memerlukan saya mengambil masa yang lama untuk sihat sepenuhnya.

Ketika ini, badan saya agak lemah apabila terkena denggi. Tiada persiapan raya pada tahun ini, memang saya dan suami tidak membuat sebarang persediaan. Anak-anak amat memahami, kami langsung tidak membeli-belah seperti keluarga lain.

Sebaliknya, hanya mengenakan pakaian yang sedia ada. Jika diikutkan hati saya memang tak nak raya tetapi disebabkan anak-anak, saya ikutkan juga. Sehari sebelum raya, kami sekeluarga akan pulang ke Kuala Terengganu dan kemudian ke rumah mertua di Kota Bharu.

Sebenarnya, saya sentiasa memberitahu anak dan suami bahawa kematian akan menjengah saya pada bila-bila masa, jadi mereka perlu bersedia dari segi mental dan fizikal.

Justeru, saya tekankan aspek kerohanian (agama) sebagai persediaan termasuk meminta suami dan anak-anak melakukan perkara yang serupa. Saya beritahu mereka sekalipun saya tiada di dunia kelak, mereka harus teruskan amalan itu.

Sebenarnya jauh di sudut hati, saya ada terfikir andai saya tidak berkesempatan untuk menyambut Aidilfitri.

Meskipun kehilangan sebelah payudara, namun Aimi dilihat cekal dan tabah melawan penyakit itu.

Meskipun kehilangan sebelah payudara, namun Aimi dilihat cekal dan tabah melawan penyakit itu.

Anekdot:

NAMA PENUH: Wan Musfirah Aimi Wan Supian

PANGGILAN: Aimi

UMUR: 35 tahun

ASAL: Kuala Terengganu, Terengganu

PEKERJAAN: Case Manager CFRM di Menara Maybank, Kuala Lumpur

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Nik Mohd Yusoff Nik Jaaafar

BILANGAN ANAK: Tiga anak lelaki

1) Nik Harris Danial, 14 tahun

2) Nik Harraz Danish, 10 tahun

3) Nik Hadiff Dani, 6 tahun



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *