Bolehkah berwuduk di dalam tandas?

Bolehkah berwuduk di dalam tandas?

BAGI mereka yang berwuduk di dalam tandas, memadailah membaca basmalah di dalam hati tanpa dilafazkan.

BAGI mereka yang berwuduk di dalam tandas, memadailah membaca basmalah di dalam hati tanpa dilafazkan.

KEBANYAKAN rumah kita pada masa ini, rata-ratanya mempunyai kemudahan tandas dan bilik air di dalam kediaman.

Malah, bilik air tersebut kadangkala digabungkan dengan tandas sekali gus.

Ia tidak seperti zaman ibu bapa dan nenek moyang kita yang mana binaan tandas dan bilik air mereka berasingan dan masing-masing ditempatkan di luar kediaman.

Persoalannya, apakah hukum berwuduk di dalam tandas?

Bolehkah kita menyebut perkataan basmalah ketika berwuduk di dalam bilik air yang ada tandas tadi?

Menjawab persoalan tentang hukum berwuduk di dalam tandas, ia adalah harus.

Sebahagian ulama cenderung menjadikan dalil hadis Aisyah RA yang mana Nabi Muhammad SAW mandi junub dan berwuduk di tempat yang sama iaitu di dalam bilik air seperti dinyatakan dalam riwayat al-Bukhari.

Namun, ia berserta syarat iaitu yakin tiada najis yang merecik dari tempat qada hajat atau terkena badan.

Sebahahgian ulama pula berhati-hati dan memakruhkan berwuduk di dalam bilik mandi seperti pandangan ulama Hanafiyyah dan Malikiyyah.

Namun, ia agak kurang praktikal di Malaysia memandangkan kebanyakan rumah menggabungkan tandas dan bilik mandi sekali gus.

Hukum membaca bismillah atau menyebut nama ALLAH SWT di dalam tandas atau bilik mandi pula telah menjadi perselisihan para ulama.

Ada yang membenarkannya seperti Imam an-Nakhaie, Ibnu Sirin dan Malik.

Sementara itu, Imam ‘Atha dan al-Sya’bi memakruhkannya kerana Nabi Muhammad SAW tidak menjawab ketika sahabat RA memberi salam sepertimana yang diriwayatkan dalam hadis sahih Muslim.

Sebahagian ulama lebih cenderung mengatakan basmalah hanya dibaca di dalam hati tanpa dilafazkan ketika mengambil wuduk di dalam tandas.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

Sumber