Azrulnizam Pengerusi baharu PR1MA – Sinar Harian

Azrulnizam Pengerusi baharu PR1MA – Sinar Harian

PERBADANAN PR1MA Malaysia (PR1MA) mengumumkan pelantikan Datuk Azrulnizam Abdul Aziz sebagai Pengerusi baharu menggantikan Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff berkata, Azrulnizam mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan.

Ujar beliau, Azrulnizam pernah menggalas beberapa jawatan penting termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Al Rajhi Banking & Investment Corporation Malaysia Berhad; Ketua Pegawai Eksekutif, Standard Chartered Sa’adiq Berhad; Pengerusi Pelaburan MARA Berhad dan Penasihat Kewangan Strategik Kumpulan, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Saya bagi pihak warga kerja PR1MA mengucapkan tahniah kepada Datuk Azrulnizam atas pelantikan sebagai Pengerusi dan mengalu-alukan kedatangan beliau ke PR1MA.

“Kami yakin beliau akan dapat memacu PR1MA dalam memenuhi aspirasi dan mandat Kerajaan, khususnya penyediaan kediaman mampu milik yang berkualiti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, ulas Mohd Nazri, Azrulnizam mempunyai latar belakang pendidikan dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Perniagaan Antarabangsa daripada Universiti Hartford, Amerika Syarikat (AS) dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dalam Pemasaran daripada Universiti Wichita State, AS.

“Ketika ini, Datuk Azrulnizam berkhidmat sebagai Pengarah Bebas di MBSB Bank, AmMetlife Takaful dan Thriven Global Berhad.

“Atas kapasiti peribadi, beliau adalah Pengarah CR FinaCapital Sdn Bhd dan Petrowangsa Sdn. Bhd.

“Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA,” ujarnya.

Sumber