Tidak semua individu yang menghidap penyakit hati berlemak menyedari keadaan tersebut, malah ada yang kelihatan sihat dan mempunyai berat badan normal. Namun, penyakit yang sering dikesan melalui pemeriksaan kesihatan rutin ini boleh berkembang secara senyap sehingga menyebabkan kerosakan hati yang serius.
Dikenali sebagai metabolic dysfunction-associated steatotic liver disease (MASLD), penyakit hati berlemak berkaitan disfungsi metabolik bukan sahaja melibatkan individu yang mempunyai berat badan berlebihan. Ia turut dikaitkan dengan diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi.
Di Malaysia, kajian berdasarkan data Kementerian Kesihatan 2023 menganggarkan kira-kira 28.2% orang dewasa, bersamaan 6.7 juta individu, terjejas akibat MASLD.
Pakar Perunding Gastroenterologi Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr Ganesalingam Kanagasabai, menjelaskan bahawa penyakit ini jarang menunjukkan gejala pada peringkat awal. Kebanyakannya hanya dikenal pasti apabila ujian darah menunjukkan paras enzim hati tidak normal atau pemeriksaan pengimejan mengesan pengumpulan lemak dalam hati.
Jika tidak dikawal, lebihan lemak boleh mencetuskan keradangan yang dikenali sebagai metabolic dysfunction-associated steatohepatitis (MASH). Keradangan berterusan boleh menyebabkan fibrosis atau pembentukan parut pada hati, yang berpotensi berkembang menjadi sirosis, kegagalan hati dan meningkatkan risiko kanser hati.
Bagi mengesan kerosakan lebih awal, individu yang mempunyai faktor risiko metabolik disarankan berbincang dengan doktor mengenai pemeriksaan hati. Antara kaedah yang digunakan termasuk ujian darah, skor FIB-4 untuk menganggarkan risiko fibrosis, pemeriksaan VCTE bagi mengukur kekerasan hati serta ultrabunyi abdomen.
Menurut Dr Ganesalingam, keadaan hati berlemak lazimnya boleh bertambah baik, khususnya sebelum pembentukan parut yang meluas berlaku. Penurunan berat badan sebanyak 5% hingga 7% boleh membantu mengurangkan lemak dan keradangan hati, manakala penurunan melebihi 10% berpotensi memperbaiki keradangan serta fibrosis bagi sesetengah pesakit.
Amalan pemakanan seimbang, senaman berkala dan pengurusan penyakit seperti diabetes serta tekanan darah tinggi turut memainkan peranan penting. Orang ramai juga diingatkan supaya tidak bergantung kepada suplemen detoks hati yang belum disahkan keberkesanannya.
Dalam kes yang lebih serius, sirosis boleh menjejaskan fungsi hati sehingga menyebabkan pengumpulan cecair dalam abdomen, pendarahan dalaman, jaundis dan kekeliruan akibat gangguan fungsi hati. Keadaan ini juga meningkatkan risiko kanser hati, justeru pesakit tertentu mungkin memerlukan pemeriksaan berkala setiap enam bulan menggunakan ultrabunyi dan ujian darah alfa-fetoprotein (AFP).
Bagi pesakit yang mengalami penyakit hati peringkat akhir atau kanser hati, pemindahan hati boleh dipertimbangkan. Pakar Perunding Bedah Am dan Hepatobiliari SJMC, Dr R. Krishnan Raman, menjelaskan bahawa prosedur ini memerlukan penilaian teliti serta kerjasama pasukan pakar pelbagai disiplin bagi memastikan keselamatan penderma dan penerima.

Beliau turut menegaskan bahawa keadaan kesihatan penderma perlu dinilai dengan teliti, khususnya jika terdapat penyakit hati berlemak, bagi memastikan jumlah tisu hati yang mencukupi dan sihat dapat diberikan kepada penerima.
Penyakit hati berlemak tidak semestinya membawa kepada sirosis atau kanser. Namun, pengesanan awal dan pengawalan faktor risiko merupakan langkah penting untuk mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
Orang ramai, khususnya mereka yang mempunyai diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau berat badan berlebihan, digalakkan mendapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan hati dan tidak menunggu sehingga gejala muncul.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan perubatan dan pemindahan hati, layari Subang Jaya Medical Centre.











