10,000 dijangka sertai Malaysia #QuranHour di Negeri Sembilan

10,000 dijangka sertai Malaysia #QuranHour di Negeri Sembilan

Peserta Rumah Ngaji Negeri Sembilan memberi sokongan terhadap program Malaysia #QuranHour.

Peserta Rumah Ngaji Negeri Sembilan memberi sokongan terhadap program Malaysia #QuranHour.

SEREMBAN – Seramai 10,000 peserta dijangka mengambil bahagian dalam Malaysia #Quran Hour di Negeri Sembilan yang akan berlangsung 30 Ogos ini.

Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof di Sikamat menjadi lokasi utama penganjuran yang dijangka dihadiri kira-kira 1,000 peserta.

“Seperti tahun-tahun sudah, penganjurannya mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang merupakan rakan sinergi dalam mengimarahkan program berkenaan.

“Pada masa sama program ini turut diadakan di beberapa lokasi masjid dan surau terpilih, jabatan dan agensi kerajaan termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, disebabkan cuti sekolah, tiada penyertaan dari kalangan pelajar, namun ibu bapa dialu-alukan menghantar anak mereka untuk turut serta.

Menurutnya, memasuki tahun kelapan penganjurannya, program ini dilihat mendapat sambutan baik dan berjaya menyemai budaya pembacaan al-Quran dalam kehidupan masyarakat beragama Islam tidak mengira peringkat umur.

“Bertepatan dengan temanya kali ini iaitu Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’ yang menyeru kepada golongan muda untuk menghayati al-Quran,” katanya.

“Pemilihan tiga surah Al-Insan, Al-Fatihah dan Al-Asr juga amat bertepatan dalam usaha melahirkan generasi pelapis pemimpin pada masa hadapan,”katanya.

Penganjuran program Malaysia #QuranHour pada tahun ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Penganjuran program Malaysia #QuranHour pada tahun ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Tambahnya, tiga surah itu menjadi penghubung kepada usaha melahirkan golongan muda berkemahiran dalam membina projek pembangunan negara sekali gus melahirkan pemimpin yang soleh,”katanya.

Tambahnya, intipati surah itu boleh dijadikan panduan dalam membentuk karektor dan peribadi seseorang.

“Untuk melahirkan generasi pelapis pemimpin perlu bermula dari sekarang dan semestinya kita perlukan pemimpin yang bukan saja bijak mentadbir, tapi juga berakhlak.

“Jadi saya berharap dalam sesi Malaysia #QuranHour kali ini kita sama-sama dapat menghayati tiga surah yang dipilih supaya mendapat manfaatnya dan melahirkan pemuda berkemahiran dalam membina projek untuk pembangunan negara,” katanya.

Sumber