Zalina derita angkara ibu mertua

Zalina derita angkara ibu mertua

ANDA mahu berkahwin dan mahu bahagia? ya pasti semua orang mahu melayari kehidupan berumahtangga dan kekal bahagia lebih-lebih lagi dengan insan yang disayangi dan dicintai. Namun tahukah anda bahawa berkahwin bukan bermaksud anda perlu menerima suami atau isteri semata-mata dalam hidup anda. Jangan lupa ya, anda juga perlu menerima keluarga mereka sama ada bapa mertua, ibu mertua, adik-beradik mahupun ipar duai.

Baik atau buruk, mereka tetap keluarga suami atau isteri anda. Kali ini famili femina mahu menyingkap kisah seorang wanita yang bernama Zalina (bukan nama sebenar) berusia 32 tahun yang berhadapan masalah perebutan kasih sayang suami antara ibu mertuanya.

Wanita yang bertugas sebagai penolong pegawai di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya itu kini hidup tertekan selepas dituduh ‘batu apikan’ suami oleh mertuanya sendiri. Dia dan suami, Farid (bukan nama sebenar), 37, telah disatukan sebagai pasangan yang sah sejak tiga tahun lalu atas dasar suka sama suka. Di awal perkahwinan, ibu mertuanya sangat baik dan melayannya seperti menantu-menantu yang lain.

Kebetulan pula suaminya adalah anak lelaki tunggal dan bongsu, sudah pasti menjadi kesayangan ibu dan keluarga. Beberapa bulan selepas bergelar suami isteri, Zalina dan suami berpindah ke Putrajaya dan tinggal berasingan dengan mertua. Sejak itu mereka jarang pulang ke rumah mertua di Seremban ekoran kekangan masa dan sibuk dengan urusan masing-masing. Lebih-lebih lagi Farid yang bertugas sebagai pegawai pemasaran kerap kali ke luar daerah, memang tiada masa.

Ibu mertua mula perli

Ibu mertua mula berubah sikap ketika kedua-duanya pulang ke Seremban ketika cuti umum Tahun Baru Cina lalu. Dia tidak lagi mesra dengan Zalina seperti kebiasaannya, dia lebih banyak memerli. Berbeza dengan Farid, sepanjang hari ibu mertuanya akan menghabiskan masa dengan bersembang dan bergelak ketawa. Zalina rasa pelik dengan keadaan itu! Ketika pasangan suami isteri itu mahu beredar pulang, ibu mertuanya seakan ‘terpaksa’ bersalaman dengannya.

Hanya dengan Farid! Ya, Zalina mula berkecil hati. Bukan sekali bahkan sudah beberapa berlaku. Selang seminggu kemudian, ibu dan bapa mertuanya itu bermalam di rumah mereka, bapa mertua banyak buat hal sendiri, berbeza dengan ibu mertua yang menghabiskan masa berborak dan berbual panjang dengan Farid. Bila Zalina ada bersama mereka, dia cuba mengelak dengan berpura-pura ke bilik. Tindakan itu seakan-akan tidak menyukai kehadiran menantunya.

Sikapnya itu memberi isyarat seolah-olah Zalina tidak wujud dalam rumah tersebut. Zalina tidak tahu kenapa ibu mertuanya bertukar jadi ‘dingin’ secara tiba-tiba. Meskipun jarang pulang ke Seremban, ibu mertuanya kerap kali menghubungi suaminya dan bertanya khabar. Bila Zalina cuba menghubungi ibu mertuanya untuk bertanya khabar, panggilannya tidak berjawab. Bnyak kali!

Bila ditanya pada suami, jawapannya mungkin ibunya sibuk dengan urusan politik yang mana ibunya sangat aktif dalam sebuah parti politik. Sampailah suatu masa ketika Zalina dan suami pergi bercuti. Ibu mertua secara tiba-tiba menghubungi suami dan marah-marah. Alasannya, pergi bercuti berdua dan tak ajaknya bersama. Ketika itu, Zalina dapat merasakan perbuatan ibu mertuanya itu seolah-olah cuba merebut suami tercinta daripadanya.

Dilayan umpama orang luar

Ya, ibarat hidup bermadu pula. Setiap kali pulang ke rumah mertuanya, tiada perubahan. Dia dilayan bagaikan orang asing. Bahkan Zalina kerap diperli berkenaan isu zuriat. Bila dan bila? Walhal kedua-duanya baru tiga tahun mendirikan rumahtangga. Belum terlalu lewat rasanya untuk berusaha. Betul, Zalina belum punya anak sendiri tetapi itu bukan kehendaknya. Semua sudah diatur Yang Maha Esa. Mungkin belum rezeki.

Bahkan kakak-kakak kepada suaminya juga sudah pandai menyindir. Dia sendiri tidak tahu apa kesalahan besar yang telah dilakukannya hinggakan semua bersikap demikian terhadapnya. Zalina benar-benar terluka, persoalan itu terlalu sensitif buatnya. Akibatnya, Zalina ‘tiada mood’ untuk pulang ke rumah mertuanya tiap kali diajak suami, kehidupan bersama mertua dan ipar-ipar jadi tidak seronok lagi.

Bila pulang ke Seremban, dia terpaksa mengurungkan diri dalam bilik tidur, seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada bertembung dengan ibu mertua mahupun kakak iparnya yang tinggal selang beberapa rumah daripada kediaman mertuanya itu. Perkara yang menghantui itu benar-benar membuatkannya tertekan hingga hilang tumpuan untuk bekerja. Jadi apakah yang perlu dilakukan wanita yang berasal dari Perak ini untuk mengembalikan hubungan baik bersama mertuanya?

Hushim

Hushim

Kembali ambil hati ibu mertua

Merungkai permasalah yang dihadapi Zalina, Pakar Motivasi dan Kaunselor, Hushim Salleh berpandangan Zalina perlu berusaha kembali untuk mengambil hati ibu mertua dan kakak-kakak kepada suaminya.

“Saya yakin pasti ada sebab yang mendorong mereka bersikap dingin terhadap Zalina. Saya akui memang terdapat segelintir ibu mertua yang merasakan apabila anak lelakinya berkahwin, menantu telah mengambil alih kasih sayang anak terhadapnya lebih-lebih lagi anaknya itu merupakan anak kesayangannya.

“Dalam konteks ini, benar, menantu kena beralah. Buang ego jauh-jauh! Sebagai menantu, gunakan pendekatan psikologi untuk menangani mertua lebih-lebih lagi jenis yang cerewet,” katanya.

Pertamanya sekali, katanya, menantu perlu wujudkan komunikasi dengan mertua dalam bentuk yang positif, jangan banyak menjawab.

“Sebaik-baiknya diam dan terima apa yang diperkatakannya. Ibu mertua biasanya sudah berumur, jadi, jangan sesekali bangkang apa dia cakap.

“Cara nak ambil hati mertua juga bukannya sukar. Gunakan teknologi untuk berhubung. Tanya khabar, jangan sesekali mendiamkan diri! Bila menantu bertanya, ia menandakan menantu mengambil berat

“Bila pulang ke rumahnya, jangan pulang dengan tangan kosong sebaliknya bawakan sesuatu seperti hadiah berupa kain,buah-buahan dan sebagainya. Jangan terperap dalam bilik tidur jika berada di rumah mertua sebaliknya ringankan tulang membantunya di dapur,” katanya yang juga pemilik Hushim Motivational & Counselling Consultancy yang beroperasi di Klang.

Ujarnya lagi, sebaik-baiknya elakkan tinggal bersama mertua lebih-lebih lagi dengan mertua yang jenis cemburu dan materialistik, tidak boleh tengok menantu lebih daripada dia.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge