Wakaf Quran Mu’jam kumpul lebih 20,000 al-Quran seminggu

SHAH ALAM – Program Wakaf Quran Mu’jam untuk disalurkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berjaya mengumpul sebanyak 22,318 naskhah al-Quran selepas seminggu dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, sumbangan dibuka sehingga 14 April ini berikutan WUIF terus menerima permohonan untuk mengaktifkan #QuranCorner.

“Sehingga jam 4:30 petang (Jumaat) dalam tempoh tujuh hari dilancarkan, wakaf al-Quran ke hospital dan pusat kesihatan adalah sebanyak 22,318 naskhah. Sumbangan ini akan terus dibuka sehingga 14 April 2020.

“Sasaran awal agihan hanya untuk sekitar 200 lokasi dari 2,774 lokasi termasuk 120 pusat kuarantin namun pihak WUIF terus menerima permohonan untuk mengaktifkan #QuranCorner di lokasi masing-masing,” katanya pada program Alhamdulillah disiarkan TV AlHijrah di sini.

Marhaini berkata, pihaknya mendapat banyak bantuan untuk agihan lebih menyeluruh melalui kerjasama mantap dengan Jakim, Jabatan Kesihatan Negeri, pihak hospital serta wakil Rumah Ngaji negeri.

Menurutnya, #QuranCorner & Troli Ibadah telah mula diaktifkan di hospital dan berada di wad-wad, sementara sesi #QuranTime mengikut pendekatan Malaysia #QuranTime menerusi siaran TV AlHijrah juga telah mula diadakan di hospital.

“Semoga mukjizat al-Quran menyentuh dan menyapa hati kita semua untuk menambah keimanan kita.

“Semoga dengan pendekatan berinteraksi dengan al-Quran (baca, faham dan amal) akan membawa kita memahami apa mesej ALLAH kepada kita, menjadi terapi, merawat dan menyembuhkan kita.

“Semoga dengan ujian Covid-19 ini menjadi momentum besar untuk melahirkan negara, pemimpin dan rakyatnya yang jauh lebih baik dari sebelum ini.

“Bersama kita berpegang kepada tali ALLAH untuk membina ketahanan fizikal, mental dan jiwa kita. ALLAH Bersama, Biidznillah,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *