Wakaf mendekatkan diri dengan ALLAH

APABILA berbicara tentang wakaf, ingatan penulis terarah kepada sikap dermawan khalifah Islam ketiga, Usman bin Affan RA.

Beliau sanggup membeli perigi dan diwakafkan untuk kegunaan penduduk Madinah tatkala berlaku bencana kekeringan di kota berkenaan.

Sungguh mulia sikap sahabat Rasulullah SAW itu membantu dan memberi manfaat kepada seluruh penduduk Madinah.

Satu lagi kisah juga berkaitan dengan telaga. Ia merupakan satu kisah benar yang berlaku di Melaka seperti diceritakan rakan penulis.

Seperti yang dikisahkannya, sewaktu zaman kemarau di negeri bersejarah itu pada tahun 1991, telaga milik seorang lelaki tua menjadi tumpuan seluruh penduduk kampung untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Sebenarnya, pada asalnya perigi itu terletak di dalam bilik air rumahnya. Namun, bangunan itu dipecahkan demi kemudahan orang ramai. Dipendekkan cerita, sebelum meninggal dunia, beliau telah mewasiatkan agar telaga itu diwakafkan kepada semua penduduk.

Cerita itu sudah puluhan tahun lamanya, namun jasa arwah masih dikenang sehingga ke saat ini. Ya, sehingga kini telaga itu masih digunakan.

Berdasarkan perkongsiaan kisah murni itu, kita lihat kebanyakan wakaf dilakukan hanya dengan ‘cakap mulut’ dan tiada hitam putih.

Namun, kini zaman sudah berubah. Kepentingan wakaf telah mendorong banyak pihak membantu untuk memudahkan pengurusan harta wakaf yang secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan ekonomi umat Islam.

Rukun

MOHD TAMYES

MOHD TAMYES

Bagi berbincang lanjut mengenai wakaf, Sinar Islam mendapatkan pandangan daripada ilmuan agama yang dihormati, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid yang juga merupakan Mufti Selangor.

Menurut Mohd Tamyes, wakaf yang berasal daripada perkataan Arab iaitu waqf merujuk kepada sesuatu pemberian untuk tujuan keagamaan, kekeluargaan, kebajikan dan lain-lain.

“Dari segi istilah, wakaf bermaksud menahan sesuatu harta yang boleh diambil manfaat daripadanya serta kekal ainnya dan tidak terputus hak pengurusan harta tersebut daripada pewakaf dan selainnya bagi tujuan perbelanjaan sama ada diambil daripada hasil wakaf itu sendiri atau menggunakan hasil wakaf itu bagi tujuan kebajikan yang mendekatkan diri kepada ALLAH,” jelas beliau dengan penuh ketelitian.

ALLAH SWT berfirman: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu mahu nafkahkan, sesungguhnya ALLAH mengetahui-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 92)

Ujar tokoh agama itu lagi, hukum wakaf ialah sunat. Terdapat beberapa rukun yang perlu dipenuhi iaitu:

1. Wakif iaitu individu atau organisasi yang mewakafkan harta.

2. Mawquf iaitu harta yang diwakafkan sama ada harta alih atau harta tidak alih.

3. Mawquf Alaih iaitu penerima manfaat wakaf atau pihak yang diwakafkan harta kepadanya.

4. Sighah iaitu dokumen berkaitan dengan pewakafan atau lafaz pewakaf itu sendiri.

Antara kelebihan wakaf disebutkan di dalam sebuah hadis.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila mati seseorang manusia, maka terputus semua amalannya (dan hartanya) kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (iaitu wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya.” (Riwayat Muslim)

Siapakah yang boleh memberikan wakaf? Jawab Mohd Tamyes, sebenarnya semua orang boleh berwakaf tidak kira sama ada individu tersebut kaya atau kurang berkemampuan.

“Walaupun pada asalnya wakaf dilaksanakan oleh golongan yang berada, namun kini wakaf dapat dibuat menggunakan tunai yang tidak tertakluk kepada sebarang jumlah minimum mahupun maksimum,” katanya.

Dua kategori

Mohd Tamyes menjelaskan, wakaf terbahagi kepada dua kategori iaitu wakaf am dan wakaf khas.

Katanya, wakaf am merujuk kepada penggunaan hartanya yang lebih kepada untuk kebajikan umat Islam khususnya golongan fakir, miskin dan fisabilillah atau kepentingan umum yang diharuskan oleh syarak. “Wakaf itu merupakan wakaf asal dan ‘thabit dalam nas. Pengurusannya dikendalikan pemerintah dan hasilnya diagihkan kepada saluran-saluran kebajikan ummah.

“Ia boleh digunakan untuk sebarang tujuan yang tidak bertentangan dengan syarak,” katanya.

Mohd Tamyes menambah, bagi wakaf khas, penggunaannya lebih kepada tujuan-tujuan tertentu dan tidak boleh digunakan untuk tujuan selain daripada yang ditentukan oleh pewakaf.

“Contohnya, tanah yang diwakafkan untuk didirikan masjid. Ia tidak boleh digunakan untuk tujuan-tujuan lain,” ujar beliau.

Selain itu, Mohd Tamyes turut berkongsi pandangan Dr Muhamad Kamaluddin Imam yang dinukilkan di dalam kitab Al-Wasoya Wal-Awqaf, ulama Fiqh dengan jelas membahagikan harta wakaf kepada dua bentuk:

1. Harta alih (manqul) – Harta yang boleh dipindah alih seperti al-Quran, wang, baju, kenderaan dan lain-lain.

2. Harta tidak alih (I’qar) – Harta yang kekal pada asalnya seperti rumah, tanah atau bangunan.

Kepada satu soalan, Mohd Tamyes memberitahu: “Terdapat nas dalam al-Quran atau hadis yang menjelaskan bentuk harta alih dan harta tak alih yang boleh diwakafkan seperti mewakafkan kuda dan senjata perang.”

Historiografi

USTAZ MK AZMAN

USTAZ MK AZMAN

Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman berkongsi ilmu tentang historiografi wakaf.

Ujar beliau, wakaf merupakan salah satu ibadah awal dalam Islam yang diizinkan syarak. “Amalan wakaf telah menjadi satu tradisi kepada pemerintah dan hartawan-hartawan Muslimin pada abad-abad lalu dan pertengahan Islam secara meluas khususnya di negara-negara Arab dan Asia Tengah.

“Sehinggakan di kebanyakan negara Arab, ditubuhkan satu kementerian khas untuk mengendalikan urusan harta wakaf disebabkan harta wakaf yang terlalu banyak dan tidak terurus,” jelasnya.

Meskipun kebanyakan orang dahulu berwakaf hanya dengan ‘cakap mulut’, Ustaz MK Azman menjelaskan, wakaf mereka sah jika ia menepati rukun wakaf.

Begitupun, beliau berpesan kepada mereka yang mahu berwakaf agar memiliki dokumen ‘hitam putih’ sebagai bukti kesahihan bagi mengelak masalah lain timbul pada kemudian hari.

“Urusan wakaf melibatkan nilai hartanah yang besar. Jika sekadar wakaf tunai, tiada masalah tetapi apabila melibatkan wakaf hartanah, pasti akan menimbulkan masalah pada kemudian hari jika tiada rekod, dokumen dan saksi,” jelas beliau.

Menurutnya, setiap negeri mempunyai prosedur wakaf yang berbeza. Ia tertakluk kepada standard amalan kerja Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masing-masing.

Teliti

Ustaz MK Azman berkata, harta wakaf hendaklah diuruskan oleh badan atau organisasi yang amanah dan bertanggungjawab. Merujuk kepada undang-undang harta wakaf di Malaysia, jelas beliau, ia sepatutnya berada di bawah seliaan dan hak kawalan MAIN.

“MAIN bertindak sebagai pemegang amanah terhadap setiap harta wakaf. Hanya Majlis Agama saja yang ada hak untuk tentukan sama ada wakaf boleh dijual atau diganti, bukan orang lain.

“Membiarkan harta wakaf di bawah pengurusan individu atau pihak tidak berautoriti hanya akan menyebabkan ruang penyelewengan terbuka atas nama agama demi kepentingan peribadi,” katanya.

Sebelum mengambil keputusan membuat sumbangan wakaf, kata beliau, dapatkan info lengkap mengenai organisasi yang menguruskan harta atau dana wakaf, penerima manfaat dan pada masa sama, dibolehkan untuk kita menyemak perkembangan dan kemajuan harta yang telah diwakafkan.

Bagi penerima harta wakaf pula, jelas beliau, mereka wajib menguruskannya dengan penuh amanah dan melaksanakan tujuan ia diwakafkan.

“Harta wakaf hendaklah dimajukan berdasarkan niat pemberi harta wakaf seperti membina surau, masjid, dijadikan tanah perkuburan dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai. Penerima wakaf boleh sewakan bangunan yang dibina dan hasilnya boleh digunakan untuk kebajikan.

“Jika penerima tidak melaksanakan apa niat yang diwakafkan oleh seseorang individu tanpa mempunyai halangan dan alasan kukuh, ia dikira berdosa,” katanya.

Apapun, jelas agamawan itu, secara prinsipnya, harta wakaf tidak boleh dijual, dipindah milik, dihibahkan atau diwariskan kepada orang lain.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *