KUALA LUMPUR – Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group menyasarkan untuk melipatgandakan pemberian sumbangan kebajikan kepada RM25 juta pada tahun ini berbanding RM8 juta pada tahun lalu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, peruntukan itu akan membolehkan mereka terus memperkasakan program yang berkonsepkan kebajikan bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik di seluruh negara.
Menurut beliau, usaha itu juga selari dengan kejayaan satu dekad penubuhan syarikat berkenaan yang bermula pada 2012.
“Aspek keberkatan dan sumbangan kebajikan sememangnya sudah menjadi teras terpenting dalam pembangunan syarikat VFive Group selama ini.
“Kita meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa sesungguhnya janji ALLAH SWT itu pasti, sekiranya lebih banyak kita memberi, maka lebih banyak rezeki yang akan dikurniakan oleh-Nya. Sebab itulah kita letakkan fokus sumbangan ini sebagai salah satu daripada 10 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang kita ingin capai pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis jamuan makan malam tahunan VFive Group di sini pada Jumaat bertemakan ‘Night of New Decade’ sebagai simbolik meraikan sedekad penubuhan VFive Group.
Pada majlis berkenaan yang diserikan dengan penampilan nyanyian khas oleh artis jemputan iaitu Fazli Zainal dan Datuk Amy Search, VFive Group turut menyampaikan sumbangan kepada pelbagai pertubuhan.
Mengulas lanjut tentang penyaluran sumbangan RM8 juta pada tahun lalu, Mohd Syafiq menjelaskan, sumbangan itu diberikan melalui saluran kebajikan syarikat tersebut iaitu Yayasan VFive.
Justeru, beliau menegaskan, untuk tahun ini Yayasan VFive akan memperluaskan lagi pemberian bantuan itu termasuklah menerusi Program Kembara Beras Amal, Berkat Jumaat, Gerobok Rezeki dan Sumbangan Bakul Makanan.
“Kita juga akan tambah lagi program-program kebajikan seperti penyaluran bantuan banjir, bantuan bencana yang lain serta sumbangan kepada institusi agama seperti maahad tahfiz, surau dan madrasah.
“Selain itu, pelbagai lagi program pembangunan modal insan komuniti akan dilakukan untuk mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Shafiq memberitahu majlis makan malam yang berlangsung penuh gilang-gemilang tersebut secara asasnya bertujuan memberi penghargaan kepada semua pemegang taruh, pembekal dan kakitangan yang bertungkus lumus memastikan segala sasaran yang ditetapkan pada tahun 2022 dapat dicapai.
“Kita berterima kasih dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang setia menabur bakti dan mencurahkan jasa, baik secara langsung ataupun tidak langsung sepanjang 10 tahun perjalanan kami di dalam industri.
“Diharapkan agar semua pihak dapat terus mendoakan kejayaan kami agar lebih banyak lagi manfaat dapat kami kongsikan bersama-sama kepada masyarakat,” ulasnya.