Sertai World #QuranHour di TV Alhijrah

SHAH ALAM – Orang ramai boleh menyertai World #QuranHour di rumah masing-masing melalui saluran TV Alhijrah bermula jam 12 hingga 12.55 tengah hari pada Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, setakat ini sebanyak 15,000 lokasi seluruh negara telah didaftarkan sebagai lokasi World #QuranHour yang membawakan tema ‘Dunia Bersujud’.

Menurutnya, jumlah ini melepasi angka 3,000 lokasi pada tahun lalu dan orang ramai digalakkan bersama-sama membaca surah Al-Sajdah di rumah masing-masing menerusi siaran langsung oleh TV Alhijrah.

“Setakat ini, terdapat 20 lokasi di seluruh dunia yang mengesahkan akan menyertai World #QuranHour.

“Jumlah lokasi dijangka bertambah lagi pada malam ini dan bagi menyemarakkan World #QuranHour, orang ramai boleh memuat naik gambar di lokasi masing-masing menerusi media sosial dengan meletakkan World #QuranHour sebagai tanda sokongan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dijadual mencemar duli bagi menghadiri Program World #QuranHour 2022 yang berlangsung di lokasi perdana, Studio TV Alhijrah pada Selasa.

Selain itu turut dijangka hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Beberapa duta asing yang bakal turut serta termasuklah Duta Tajiskistan, Turki, Somalia dan Senegal.

World #QuranHour merupakan sebuah gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Malaysia ke seluruh dunia.

Surah Al-Sajdah dipilih untuk dikaji dan dibumikan bersempena World #QuranHour 2022.

Matlamat surah Al-Sajdah adalah menjadi panduan untuk penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat Dunia Berbudi dan Penyayang.

World #QuranHour diadakan kerjasama rakan Sinergi Media Malaysia kembali untuk tahun ketujuh membawakan tema ‘Dunia Bersujud’.

Sumber