Selesa, anggun busana kain kapas

LAMBAKAN material moden dalam variasi warna, corak dan desain sedikitpun tidak berjaya memikat hati Pengasas Cotton Metaphore, Rosminah Hanim Mohd Adnan.

Bicara wanita berusia 33 tahun itu, untuk menghasilkan koleksi busana tradisional yang tampak klasik dan vintaj, maka kain kapas merupakan fabrik paling ideal.

Apatah lagi sifatnya yang ringan dan mudah diuruskan membuatkan pakaian berasaskan kain berkenaan sesuai digayakan oleh setiap lapisan peringkat umur.

“Semuanya tercetus apabila dua cahaya mata saya mengalami ekzema (sejenis keadaan kulit yang menjadi kering, merah, merekah dan gatal). Jika tersalah pilih pakaian, ia akan menjejaskan kondisi kulit anak-anak.

“Disebabkan mengalami kesukaran mencari baju serap peluh dan bersesuaian dengan kulit mereka, lantas saya mengambil keputusan menghasilkan dan menjual pakaian kanak-kanak menggunakan kain kapas sekitar tahun 2015,” imbasnya ketika bertemu Femina baru-baru ini.

Bertitik tolak daripada episod itu, melihat sambutan memberangsangkan, Rosminah Hanim yang dilahirkan di Bagan Datoh, Perak tekad menambah cabang bisnes. Mereka busana tradisional untuk golongan wanita jadi tumpuannya.

Jika sebelum ini, para pelanggannya merupakan kelompok ibu dan bapa, tetapi kini Cotton Metaphore mula menjadi tumpuan penuntut, guru dan eksekutif muda berusia antara 24 hingga 35 tahun.

Istimewanya, koleksi fesyen Cotton Metaphore bukan sahaja menawan digayakan pada majlis formal, bahkan cantik dipakai ke pejabat, kuliah ataupun memenuhi undangan perkahwinan.

Justeru, apakah jenis kain kapas yang menjadi pilihan Rosminah Hanim untuk menghasilkan busana tradisional di bawah jenamanya, Cotton Metaphore?

Rosminah Hanim

Rosminah Hanim

Ikuti perkongsian eksklusif bekas pegawai bank tersebut bersama wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF.

1 Jika diperhatikan industri fesyen sentiasa berkembang dengan kehadiran material baharu dan moden. Pun begitu, jenama Cotton Metaphore nampaknya lebih cenderung memilih kain kapas. Mengapa fabrik kapas menjadi pilihan berbanding kain sari, sifon atau likra?

ROSMINAH HANIM: Sememangnya, Cotton Metaphore ingin dikenali sebagai jenama yang mengetengahkan busana berasaskan kain kapas klasik. Inisiatif ini dilaksanakan selepas mengambil kira beberapa aspek khususnya berkait rapat dengan cuaca di Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Lagipun sifat kain kapas itu sendiri membantu memberi keselesaan kepada si pemakai apabila menyerap dengan baik. Ketebalan kain yang sederhana pula mewujudkan pengudaraan bagi mengelakkan masalah ruam, kegatalan dan kerengsaan pada kulit badan.

Pada masa sama, koleksi pakaian menggunakan fabrik kapas mudah dijaga dan desainnya tidak pernah ditelan zaman.

2 Justeru, apakah jenis kain kapas yang digunakan?

Buat masa ini, koleksi fesyen Cotton Metaphore diperbuat daripada variasi kain kapas antaranya ialah kain kapas Jepun, linen, viscose, lawn, batik premium dan kain kapas Jerman.

3 Boleh huraikan lebih lanjut signifikan fabrik terbabit dalam rekaan busana jenama Cotton Metaphore?

Seperti yang kita sedia maklum, setiap jenis kain kapas memiliki keistimewaan tersendiri. Kain kapas viscose dan lawn misalnya, sesuai untuk koleksi jubah dan dres labuh kerana tekstilnya yang lembut cantik beralun.

Sementara itu, kain kapas linen pula digunakan untuk menghasilkan himpunan pakaian polos kerana serat benangnya kelihatan cantik dan menyuntik aura klasik. Namun begitu, untuk efek yang sedikit berkilat pada baju kurung polos, saya gabungkan bersama fabrik Jerman.

Bagi busana bercorak bunga, kain kapas Jepun menjadi pilihan memandangkan ketebalan kainnya yang sederhana sesuai untuk pelbagai potongan baju. Bertambah istimewa warnanya juga tidak mudah luntur dan hanya memerlukan aspek penjagaan serta proses menggosok yang minimum.

Dalam pada itu, memahami trend ‘demam’ batik yang melanda sejak awal tahun ini, material kain kapas batik premium turut menjadi pilihan ideal jenama ini.

4 Majoriti penuntut di kampus gemar menyarungkan baju kurung, baju Kedah ataupun kebaya berasaskan kain kapas untuk menghadiri kuliah. Apakah faktor yang mendorong mereka memilih corak pemakaian sedemikian?

Seperti yang dijelaskan, baju berasaskan kain kapas memberikan keselesaan berpanjangan pada si pemakai. Ia juga tahan lasak dan tidak mudah berkedut.

Meskipun tampak ringkas, namun busana kain kapas memiliki pesona yang tersendiri.

5 Bagi wanita bertubuh langsing mungkin tidak berdepan sebarang masalah untuk bergaya, tetapi bagaimana pula dengan kaum Hawa yang berbadan gempal?

Adakah mereka berpeluang menyarungkan busana khususnya baju kurung kain kapas?Sesetengah wanita gempal enggan memakai baju kain kapas kerana bimbang fabrik tersebut membuatkan mereka kelihatan lebih besar.

Hakikatnya persepsi itu tidak benar kerana ia bergantung pada corak dan jenis kain kapas. Wanita berbadan gempal masih berpeluang tampil anggun dan menawan dalam persalinan pakaian kain kapas lembut dan beralun seperti lawn atau viscose. Paling penting harus memilih motif flora kecil dan warna gelap bagi memberikan siluet yang lebih kurus.

6 Boleh kongsikan, selain baju kurung moden apakah rekaan yang ditawarkan di Cotton Metaphore?

Koleksi Cotton Metaphore terbahagi pada tiga potongan utama iaitu baju kurung, kebaya dan peplum.

Dalam kategori baju kurung wanita diberi pilihan baju kurung mini, baju kurung midi, baju kurung moden, baju kurung Pahang, baju kurung cekak musang dan baju kurung Kedah.

Kebaya pula hadir dalam himpunan kebaya pendek Nyonya dan kebaya labuh manakala peplum rekaannya peplum pleated dan peplum kebaya.

7 Bagaimana pula dengan permainan warna dan motif rekaan Cotton Metaphore?

Setakat ini, signatur kami terletak pada nuansa biru gelap, hijau zamrud, kuning pucat (mustard) dan merah hati kerana palet warna seumpama itu tampak lebih menonjol berbanding rona pastel.

Dari segi motif, selain bunga kami turut menerapkan corak abstrak dan geometri. Sesekali akan menyelitkan koleksi khas yang mengikut trend semasa seperti corak batik.

8 Adakah baju Cotton Metaphore boleh dipraktikkan konsep suai dan padan?

Tentu sekali. Bagi mencipta look (gaya) kasual, wanita hanya perlu memadankan top kebaya pendek, baju kurung mini atau peplum dengan seluar jean potongan tirus palazo atau skirt pleated.

Sementara itu, busana polos pula boleh diserikan dengan helaian selendang, aksesori ataupun pelengkap gaya warna kontra.

Profil

Nama penuh: Rosminah Hanim Mohd Adnan

Umur: 33 tahun

Asal: Bagan Datoh, Perak

Adik beradik: Anak ke-4 daripada

5 beradik

Anak: Marissa Amani Mohd Izuan, 7 dan Muhammad Irfan, 4

Pendidikan: Sarjana Muda Biologi, Universiti Kebangsaan Malaya

Kain kapas kegemaran: Kain kapas Jepun

Jawatan: Pengasas Cotton Metaphore

Instagram: @cottonmethaphore

Lokasi: Persiaran Tasik Seksyen 14, Shah Alam

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *