Isu tentang ‘ibu tumpang’ mungkin jarang diperkatakan dalam kalangan umat Islam, tetapi pengorbanan yang terlarang ini bakal dibongkarkan dalam drama bersiri terbaharu berjudul ‘SENYAWA’, yang akan ditayangkan pada 25 Oktober ini.
Sebuah aplikasi penstriman popular di Asia, iQIYI, sekali lagi menyajikan karya yang menarik ini dengan barisan pelakon berbakat dari tanah air, termasuk Trisha Ooi, Shahz Jaszle, Siti Hariesa, Datin Nina Juren, Liang Chia, Aleza Shadan, Heryanto Hassan, dan ramai lagi, di bawah arahan pengarah berpengalaman, Eyra Rahman.
Drama ini mengisahkan perjalanan Zabrina (dilakonkan oleh Trisha Ooi), seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya dan hidup dalam kebahagiaan rumah tangga. Namun, di sebalik kejayaannya, Zabrina berhadapan dengan pelbagai konflik yang menuntut pengorbanan yang besar. Setelah berkahwin dengan Iskandar (dilakonkan oleh Shahz Jaszle), Zabrina mengalami keguguran yang menyedihkan dan disahkan menghidap ‘cervical insufficiency’, suatu keadaan perubatan yang menyukarkannya untuk hamil. Tertekan dengan desakan ibu mertuanya, Dato’ Asmida (dilakonkan oleh Datin Nina Juren), yang sangat mendambakan cucu, Zabrina bertekad untuk mendapatkan ibu tumpang sebagai jalan keluar, kerana dia tidak sanggup dimadukan. Dalam usahanya, Zabrina bertemu dengan Lutfiyah (dilakonkan oleh Siti Hariesa), seorang gadis kampung yang memiliki ciri-ciri yang diinginkan Zabrina, membuatkan dia percaya bahawa Lutfiyah adalah calon yang sesuai sebagai ibu tumpang. Segala persoalan dan konflik dalam cerita ini akan terjawab dalam drama ‘SENYAWA’.
Trisha Ooi, yang memegang watak Zabrina, berkongsi bahawa cabaran yang dihadapinya dalam memerankan watak ini adalah sangat besar. “Cabaran untuk membawa watak Zabrina ini bukanlah mudah kerana saya perlu membuat pelbagai persiapan demi menjayakannya. Saya banyak berbincang dengan pengarah, Eyra, untuk membina dan mencipta watak yang seberat ini. Saya perlu bermain dengan pelbagai emosi, dari seorang yang dominan tetapi pada masa yang sama sangat rapuh hatinya, berlaku pergolakan jiwa yang mendalam. Namun, saya berpuas hati dapat memberikan yang terbaik dan berharap penonton turut merasai pengalaman ini.”
Bagi Shahz Jaszle, yang sering melakonkan watak suami, pengalamannya kali ini berbeza. “Menghadapi isu ibu tumpang adalah sesuatu yang baru bagi saya. Saya perlu menyelami watak Iskandar, seorang suami yang terlalu menyayangi isterinya sehingga sanggup melakukan perkara yang dilarang dalam agama. Nasihat saya adalah, sebagai seorang khalifah dalam keluarga, suami harus menjadi pemandu rumah tangga. Kunci utama adalah agama, dan kita sebagai orang Islam seharusnya mempertahankan yang halal serta menolak yang haram.”
Siti Hariesa, yang membawakan watak Lutfiyah, turut merasakan bahawa drama ini penuh dengan mesej yang berguna. “Selain cabaran lakonan untuk ketiga-tiga watak utama, banyak pengajaran berguna yang saya pelajari. Dalam sesebuah perhubungan, ketelusan sangat penting, dan kita harus menghindari rahsia, terutamanya dengan pasangan kita. Beringatlah sebelum bertindak, dan jangan biarkan perasaan menguasai hingga menggadaikan prinsip agama.”
Menurut pengarah Eyra Rahman, isu yang diangkat dalam drama ini adalah berat dan berkait rapat dengan hukum halal dan haram. “SENYAWA adalah sebuah naskah yang mengangkat pendekatan menghalalkan yang haram. Desakan hidup boleh menyebabkan fikiran seseorang terpesong hingga memilih jalan mudah yang tidak sepatutnya, seperti ibu tumpang, tanpa memikirkan implikasi dan keburukan yang mungkin timbul.”
En. Jony Deng, Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, turut memberikan harapan agar drama ini diterima baik oleh penonton. “Sebagaimana drama-drama bersiri lain yang diterbitkan oleh iQIYI, saya berharap agar ‘SENYAWA’ akan memberi sambutan yang menggalakkan dan menjadi pengajaran kepada masyarakat Malaysia. Saya juga berharap penonton dapat terhibur dengan jalan cerita yang asli, barisan pelakon berbakat, serta pengajaran tentang hukum agama yang dapat dijadikan iktibar.”
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama ‘SENYAWA’ pada 25 Oktober 2024, setiap hari Jumaat dan Sabtu, jam 9:00 malam, yang menjanjikan pengalaman menarik dengan aspek kekeluargaan, percintaan, dan pengorbanan. Muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store di peranti digital anda sekarang. Cari ‘SENYAWA’ dan klik ‘Pesan’ untuk menerima peringatan awal tentang tayangan. Saksikan sendiri drama yang menyentuh hati ini!