Rock Warrior Music Festival, sebuah festival yang pasti menggamit jiwa peminat muzik rock, bakal berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi.
Festival ini dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah, milik lagenda rock Malaysia, Dato’ Awie. Acara ini bukan sahaja menjanjikan persembahan bertenaga daripada band-band rock terkemuka tanah air, tetapi juga platform terbaik untuk mengetengahkan bakat baharu dalam industri muzik.
Hari pertama festival, 23 November, bakal menampilkan barisan artis rock terkenal seperti Wings, Search (Kid & Din), dan XPDC.
Peminat setia muzik rock akan dibawa mengembara melalui persembahan lagu-lagu ikonik yang pernah menjadi fenomena pada era kegemilangan rock Malaysia. Pengunjung boleh menantikan alunan gitar yang penuh semangat, vokal bertenaga, serta suasana konsert yang dipenuhi dengan nostalgia.
Ini merupakan peluang keemasan untuk menyaksikan gabungan artis-artis legenda yang masih kekal relevan dalam industri muzik tempatan.
Dato’ Awie, selaku penganjur dan vokalis utama Wings, mengungkapkan bahawa Rock Warrior Music Festival diadakan dengan matlamat untuk menghidupkan kembali semangat rock di kalangan peminat lama serta memperkenalkan genre ini kepada generasi baharu.
Beliau menegaskan bahawa festival ini akan menjadi medan pertemuan antara generasi rock klasik dan peminat muda yang kini mula mendalami muzik rock.
“Rock Warrior Music Festival bukan sahaja untuk menghiburkan, tetapi juga untuk menyatukan semua pejuang muzik rock – yang lama dan yang baharu,” kata Dato’ Awie.
Selain menampilkan artis-artis terkenal, Rock Warrior Music Festival turut menyediakan platform untuk kumpulan rock baharu mempamerkan bakat mereka.
Dato’ Awie menyatakan bahawa festival ini adalah peluang terbaik untuk band-band muda memperkenalkan lagu dan karya original mereka kepada audiens yang lebih luas.
“Kami mahu memastikan bakat-bakat baharu dalam industri muzik rock tempatan diberi peluang untuk bersinar. Festival ini adalah pentas yang sesuai untuk mereka menonjolkan kreativiti dan dedikasi mereka dalam bidang muzik,” tambahnya.
Bukan sahaja mengenai muzik, festival ini juga menjanjikan pelbagai aktiviti menarik yang akan menambah keterujaan acara. Pengunjung boleh menikmati pelbagai ‘booth’ makanan dan minuman, membeli barangan eksklusif berkaitan rock, serta menyertai aktiviti sampingan yang disediakan. I
ni menjadikan Rock Warrior Music Festival lebih daripada sekadar konsert, tetapi juga pengalaman menyeluruh untuk peminat rock dari pelbagai latar belakang. Festival ini dilihat sebagai acara yang tidak boleh dilepaskan bagi mereka yang menggemari muzik rock dan mahukan pengalaman hiburan yang unik dan berkesan.
Tiket untuk Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September 2024, dengan pilihan tiket yang berbeza untuk menyesuaikan keperluan setiap pengunjung.
Tiket dua hari dijual pada harga RM250 untuk Gold (seated), RM200 untuk Silver (standing), dan RM150 untuk Bronze (standing). Untuk mendapatkan tiket, pengunjung boleh melayari laman web rasmi festival di https://rockwarrior.ubertickets.asia/.
Dengan barisan artis rock terhebat serta aktiviti sampingan yang menyeronokkan, Rock Warrior Music Festival pasti akan menjadi acara yang dinantikan oleh peminat muzik rock di Malaysia. Jangan lepaskan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah rock tempatan!