SYARIKAT pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) pasca bayar terbesar di Malaysia, redONE mengumumkan Pelan Bantuan Kewangan Komprehensif bagi mengurangkan beban lebih 800 rakan niaganya yang terjejas akibat penularan Covid-19.
Ketua Pegawai Jualannya, Ben Teh berkata, hampir RM3 juta diperuntukkan untuk subsidi sewa dan penangguhan bayaran serta RM10 juta untuk pinjaman.
“Antara bantuan tersebut ialah kesemua kedai premier eksklusif dan rakan niaga Gold redONE akan menerima subsidi penuh untuk kos sewa kedai dan kios sepanjang PKP.
“Wakil jualan bukan eksklusif menerima subsidi wang tunai RM1,000 yang dibayar melalui ansuran dua kali pada April dan Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurutnya, ejen individu tanpa premis tetap pula akan menerima subsidi wang tunai satu kali sebanyak RM300 pada April.
“Semua bayaran kepada redONE yang perlu dijelaskan oleh ejen seperti yuran, pembelian telefon dan lain-lain akan ditangguhkan selama 2 bulan sehingga Jun 2020.
“Lebih 500 rakan niaga Top redONE dari tahun 2019 diberi perlindungan insurans Kemalangan Peribadi dan Covid-19 bermula 1 April 2020,” katanya.
Selain itu, Ben Teh berkata, redONE juga membenarkan semua rakan niaganya untuk memohon komisen pendahuluan.
“Bergantung kepada pendapatan redONE yang mereka peroleh sekarang, rakan niaga boleh meminjam minimum RM6,000 sehingga RM60,000.
“Bayaran semula bermula pada bulan Ogos dan boleh dibuat selama 24 bulan,” katanya.