DALAM sebuah hadis, ada disebutkan tentang tiga perkara yang boleh menyelamatkan kita dan tiga perkara yang membinasakan kita.
Tiga perkara yang dituntut untuk kita lakukan adalah:
1. Takut kepada ALLAH SWT
Ia bermaksud kita perlu menjaga tingkah laku kerana sesungguhnya, ALLAH Maha Melihat dan Mendengar apa yang dilakukan hamba-Nya.
Bahkan, setiap amalan itulah yang akan menentukan sama ada seseorang manusia itu diberi kebahagiaan atau ditimpa musibah di dalam hidunya.
2. Berlaku adil ketika gembira dan marah
Dalam hidup, kita perlu berlaku adil dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa ada diskriminasi dan beremosi.
Sifat adil itu sebenarnya akan menghidupkan suasana berkasih sayang dalam masyarakat.
3. Berjimat cermat ketika susah dan senang
Kenapa kita dituntut melakukan demikian? Tujuannya untuk menyelamatkan kita daripada sikap meminta-minta sekiranya berlaku kesusahan pada kemudian hari.
Sabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut pada ALLAH SWT ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kegum seseorang dengan dirinya sendiri.” (Riwayat Abu Syeikh)
Apapun, elakkan daripada tiga perkara yang membinasakan sebagaimana dinyatakan di dalam hadis di atas iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum dengan diri sendiri.
Bukan apa, jika nafsu sendiri tidak boleh dikawal, ia seolah-olah kita ‘merelakan’ diri kita di dalam kawalan syaitan. Nauzubillah.
Sedar atau tidak, sikap kita itulah akan ‘melorongkan’ kita untuk melakukan dosa.
Begitu juga apabila kita bersikap kedekut. Bukan sahaja disukai syaitan tetapi juga, ia sebenarnya akan menjauhkan manusia daripada diri kita kerana sikap ini tidak digemari masyarakat.
Seperkara lagi, apabila kita terlalu kagum dengan diri sendiri, ia akan menyebabkan kita tanpa sedar telah bersikap angkuh dan sombong.
Ingatlah, segala apa yang dilarang oleh Rasulullah SAW itu ada hikmahnya tersendiri.
Semoga kita terus istiqamah melakukan tiga perkara yang dituntut itu dan tidak terjebak dengan perkara yang dilarang.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)