Ranger Raptor tampil dua warna baharu

BERMULA pada bulan April, Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar tunggal Ford di Malaysia memperkenalkan Ranger Raptor yang boleh didapati dalam dua lagi pilihan warna terbaharu iaitu putih (arctic white) dan hitam (absolute black). Ia adalah tambahan kepada barisan warna sedia ada iaitu biru (blue lightning) dan kelabu (conquer grey).

Bermakna untuk tahun 2019, pelanggan tempatan mempunyai empat pilihan warna.

Ranger Raptor yang merupakan trak pikap pertama dan satu-satunya berprestasi tinggi di Malaysia turut dilengkapi peredam hentak perlumbaan, FOX Racing Shox yang memberikan 30 peratus lebih pergerakan roda berbanding Ranger. Bagaimanapun, ruang dalaman masih lagi menggunakan kemasan benang biru untuk tempat duduk separa kulit. Semuanya kekal sama dengan senarai spesifikasi ketika model ini diperkenalkan tahun lalu.

Menggunakan enjin Panther 2.0 liter EcoBlue bi-turbo empat silinder diesel yang menghasilkan sebanyak 213 PS dan 500 Nm tork. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik 10-kelajuan 10R80 Getrag untuk memberikan maklum balas yang lebih baik. Kelengkapan lain antaranya DRL dan lampu kabus LED, sistem tanpa kunci dengan butang push start, kawalan cruise, active noise cancellation, kawalan pendingin hawa dua zon dan banyak lagi. Stereng juga lebih tebal dengan balutan kulit serta ada paddle shifter.

Bagi sistem infotainmen, ia menggunakan sistem SYNC 3 dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Dari segi keselamatan, ada enam beg udara, ABS dan EBD, kawalan kestabilan, kawalan menuruni bukit, ISOFIX dan lain-lain. Ranger Raptor dijual pada harga RM199,888 atas jalan tanpa insurans dan datang dengan jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer.



Sumber