Provokasi, amarah faktor buli – Sinar Harian

SEORANG pemandu lelaki maut selepas dibelasah akibat perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239, Lebuhraya Utara Selatan dekat Kajang, Selangor.

Mangsa sebelum itu dikatakan memukul kereta suspek menggunakan kayu besbol. Tindakan mangsa berusia 29 tahun itu itu selepas tidak berpuas hati dengan suspek berusia 40 tahun.

Sebelum itu lagi mereka sudah bergaduh berpunca daripada kemalangan kecil, ditenteramkan orang ramai sebelum kedua-duanya masuk ke kereta masing-masing.

Namun, si mati yang masih tidak berpuas hati mengeluarkan kayu besbol dari keretanya dan memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Suspek yang ada dalam kereta ketika itu terus memandu dalam keadaan tergesa-gesa hingga terlanggar suspek. Akibatnya, mangsa tersepit antara kereta suspek dan pengadang jalan dan dilaporkan telah meninggal dunia.



KAJIAN membuktikan lelaki lebih cenderung untuk memandu secara melulu dan menjadi pembuli jalan raya berbanding wanita.

KAJIAN membuktikan lelaki lebih cenderung untuk memandu secara melulu dan menjadi pembuli jalan raya berbanding wanita.

Itu antara kejadian tragis dilaporkan media tempatan tahun lalu. Pada pandangan penulis, sikap gagal mengawal perasaan marah antara penyebab kejadian berlaku.

Barangkali ada sebab lain. Bagaimanapun, setakat pencarian penulis, belum ada kajian secara terperinci punca masalah pembulian di atas jalan raya itu kerap dilaporkan berlaku dalam negara kita.

Apa pun kadar kes membabitkan pembuli jalan raya sememangnya merisaukan biarpun pelbagai langkah penguatkuasaan dan kaedah digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengatasinya.

Mekanisme digunakan tidak betul atau di manakah silapnya? Bagi menyingkap jawapannya, Turbo mendapatkan ulasan Pakar Kriminologi dan Psikologi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat atau Dr Geshina Ayu.

Impak serius

Walaupun ada melihatnya sebagai isu terpencil, namun masalah buli yang berlaku di atas jalan raya tidak boleh dipandang ringan kerana impaknya serius.

Masalah bukan sahaja memberikan kesan kepada diri pelaku yang terlibat, tetapi juga orang sekeliling yang tidak bersalah, kata Dr Geshina Ayu.

 Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat

Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat

“Kita tidak boleh pandang remeh. Lihatlah peningkatan jumlah video dari kamera peribadi atau telefon bimbit yang menjadi tular dalam media sosial mengenai insiden pembuli jalan raya.

“Apa yang mendasari tingkah laku pembuli jalan raya merupakan perwatakan dan rasa berhak (sense of entitlement). Insiden membuli sebenarnya boleh dilihat sebagai hasil kegagalan mengatasi kemarahan,” ujar beliau yang menyifatkan insiden buli di jalan raya bukan perkara baharu khususnya di Malaysia.

Kongsi Dr Geshina Ayu, terdapat banyak insiden yang mana kesalahan sering dilakukan oleh pembuli sendiri. Hal itu disusuli oleh pengguna jalan yang lain yang dianggap sebagai melakukan provokasi terhadap pembuli.

Apa yang pasti, tragedi boleh berlaku apabila seseorang itu gagal mengatasi perasaan marah. Menurut beliau, terdapat tiga ‘laluan’ yang berpotensi berlaku apabila hilang kawalan atas perasaan marah:

a) Laluan pertama:

Individu itu sudah mempunyai kemarahan yang kuat dan sifat yang agresif. Hanya sedikit hal diperlukan untuk mencetuskan kemarahan di atas jalan.

Selagi individu tersebut berpendapat bahawa dia telah diprovokasi, reaksi segera adalah kemarahan, keinginan dan pembalasan.

Sasarannya selepas itu untuk menyebabkan kemudaratan atau kemusnahan sama ada kepada individu yang dirasakan harus dipersalahkan, kepada objek atau harta awam yang dianggap menyumbang kepada rasa marah dan penguat kuasa undang-undang jalan raya.

Individu itu sering sudah ada sesuatu objek dalam kenderaan yang dibawa bersama yang boleh diperlakukan sebagai senjata untuk mengugut atau menyerang.

b) Laluan kedua:

Mempunyai reaksi emosi negatif terhadap rangsangan luar yang dilihat sebagai mengancam atau melanggar hak, ruang peribadi, atau pergerakan menghalang jalan.

Sebagai contoh keadaan jalan yang sesak dijadikan alasan untuk menggunakan lorong kecemasan dan melanggar lampu merah.

Jika ditahan pihak berkuasa, individu tersebut akan menyalahi orang atau pihak lain atas kesalahan sendiri. Pemandu yang melulu sebegini boleh mengakibatkan kerosakan pada kenderaan lain atau kemalangan yang serius.

c) Laluan ketiga:

Individu itu sudah berada dalam keadaan emosi negatif kerana keadaan terdahulu yang berlaku. Kejadian yang berlaku di atas jalan raya menjadi insiden terakhir yang tidak dapat diterima. Itu mencetus kemarahannya.

Sebagai contoh, konflik di tempat kerja yang tidak dapat diselesaikan. Emosi yang tinggi masih ada ketika berlaku insiden pelanggaran kenderaan yang kecil (minor accident) atau kejadian jalan raya yang sedang dihadapi. Insiden di atas jalan itu diperbesarkan dan boleh menjadi pencetus kepada kelakuan buli.

Kajian Hoskin Ellis (2015) dan Wu, Wang, Peng, Chen (2018) menunjukkan lelaki lebih cenderung untuk memandu secara melulu dan menjadi pembuli jalan raya, berbanding wanita.

Selain itu, umur dan jantina didapati mempengaruhi tahap agresif seseorang yang seterusnya boleh meningkatkan risiko terlibat dalam kecelakaan jalan raya.

Golongan muda lebih kerap terlibat dalam kemalangan jalan raya disebabkan cara pemanduan berbahaya. Mereka antaranya dipengaruhi sikap panas baran, pengaruh rakan dan masalah sosial.

Sasaran berlainan jantina

Baru-baru ini juga tular di laman sosial Facebook sebuah video berdurasi empat minit 28 saat memaparkan pemandu kereta mewah bertindak menghalang kereta seorang wanita di tengah jalan raya. Mangsa dimarahi dan dimaki.

Turut kedengaran dalam video itu wanita berkenaan yang dipercayai sedang mengandung turut menangis kerana ketakutan.

Lelaki itu kemudiannya mengambil gambar mangsa sebelum menunjukkan isyarat lucah dan beredar.

Menurut Dr Geshina Ayu, jelas itu insiden membuli!

Lazimnya pembuli berlainan jantina akan menggunakan isyarat atau bahasa berbentuk seksual untuk menyerang mangsa terutamanya bagi menimbulkan rasa takut, malu, gelisah dan resah.

KEBANYAKAN pembuli jalan raya mempunyai masalah kawalan kemarahan.

KEBANYAKAN pembuli jalan raya mempunyai masalah kawalan kemarahan.

“Perkara tersebut dilakukan sebagai kaedah mendominasi keadaan dan merendahkan nilai mangsa sebagai manusia. Tingkah laku tersebut dilakukan untuk merasa sebagai lelaki, seorang yang kuat, atau seorang yang perlu ditakuti.

“Jika mangsa sama jantina pula, taktik sedemikian tidak akan digunakan. Pembuli khuatir ada kemungkinan dia akan menjadi mangsa keganasan fizikal jika mangsa berani menentangnya,” katanya.

Pembuli mengambil gambar mangsa? Biasa berlaku bukan?

Jelas Dr Geshina Ayu, boleh jadi ia atas pelbagai sebab yang subjektif kepada pembuli. Barangkali sebagai kaedah menimbulkan rasa takut, ‘alat’ ugutan keganasan masa akan datang atau boleh jadi menjadi ‘trofi atau piala’ kejayaan membuli.

Boleh jadi juga foto diambil sebagai cara menyindir dan menjatuhkan air muka mangsa untuk laporan polis dan lain-lain sebab, katanya.

Langkah awal

Antara langkah awal yang perlu bagi membendung budaya buli di jalanan itu ialah memastikan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas lebih kerap.

Penetapan saman yang tidak boleh dirundingkan jumlahnya dan amaunnya ditingkatkan boleh dilakukan bagi kes berulang.

Selain itu, tambah Dr Geshina Ayu, menjadikan syarat sambung lesen setiap tiga atau lima tahun memerlukan lulus semula ujian lesen memandu adalah langkah awal bijak yang perlu dilaksanakan.

“Pemandu berhemah bermula dari sikap diri sendiri dan cara gaya ajaran semasa zaman kanak-kanak. Mereka melihat tingkah laku ibu bapa atau penjaga membawa kenderaan.

“Pemerhatian sosial mengenai tingkah laku yang menjadi kelaziman masyarakat setempat juga boleh mempengaruhi sikap,” katanya.

NAFSU pembuli itu dipengaruhi sikap panas baran, pengaruh rakan dan masalah sosial.

NAFSU pembuli itu dipengaruhi sikap panas baran, pengaruh rakan dan masalah sosial.

Ya, melanggar lampu merah, memandu lawan arah, melebihi had laju dibenarkan dan sebagainya, antara kesalahan biasa.

Jika individu melihat tingkah laku pemandu lain yang melanggar undang-undang tanpa dihukum atau di ambil kisah oleh pemandu-pemandu lain, ia akan menyumbang kepada pembentukan perspektif dan atitud yang pro-negatif.

Sementara itu, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan sesi kaunseling dan khidmat masyarakat diwajibkan bagi individu yang ditahan kerana kesalahan memandu secara berbahaya dan membuli di jalan raya.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan berkenaan wajar dipertimbangkan memandangkan ia telah dilaksanakan oleh beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat.

Tan Sri Lee Lam Thye

Tan Sri Lee Lam Thye

“Selain menimbulkan keinsafan, program sebegini membolehkan mereka bertemu dengan pesalah jalan raya yang lain. Secara tidak langsung akan memberikan kesedaran lebih mendalam,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kegiatan buli di jalan raya yang semakin membimbangkan.

Tambah Lee, semua rakyat Malaysia termasuk pengguna jalan raya perlu sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perbuatan menjejaskan pengguna jalan raya yang lain.

“Kewujudan pembuli jalan raya menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Sedangkan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu terkenal dengan sikap sopan santun dan berbudi bahasa.

“Saya percaya sikap tidak sabar atau panas baran terutamanya apabila berhadapan dengan situasi yang kurang menyenangkan di jalan raya adalah petunjuk bahawa sifat-sifat positif sudah mulai terhakis,” katanya.

Beliau turut menasihat pemilik kenderaan memasang kamera ‘dashcam’ yang boleh diaktifkan secara automatik setiap kali memandu. Buat penunggang motosikal, mereka boleh memakai kamera khas pada topi keledar sebagai alat perakam.

“Rakaman video itu boleh menjadi bahan bukti sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan atau kes buli jalan raya,” jelasnya.

Sumber