ANTARA jenis sushi dihasilkan sepanjang sesi pembuatan sushi berasaskan makanan laut berkualiti tinggi.
KUMPULAN media tempatan baru-baru ini teruja apabila diberi peluang mempelajari dan menghasilkan sajian popular Jepun iaitu sushi di Kolej Damansara Utama (KDU), Shah Alam, Selangor pada bulan lalu.
Paling mengujakan, sesi pembuatan makanan tersebut mendapat tunjuk ajar daripada dua bekas juara Piala Dunia Sushi, Cef Leon Yap Wee Leong (2019) dan Cef Sky Tai Koon Siang (2018) yang mana kedua-duanya merupakan warganegara Malaysia.
Kelas berkenaan merupakan salah satu aktiviti menarik yang diadakan sempena Akademi Sushi Global anjuran Majlis Makanan Laut Norway di kampus terbabit.
Menurut Sky, sepanjang sesi pembuatan itu, pihak media bukan sahaja diberi pendedahan tentang teknik gulungan, malah beliau dan Leon turut berkongsi tip bahawa sentuhan yang lembut membantu menyempurnakan hidangan sushi.
“Nasi sushi perlu dibentuk sama seperti anda mengira wang. Kemudian, ambil sedikit mayonis dan wasabi lalu gulung dalam bentuk kon dengan nori,” jelas Sky dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Institut Kemahiran Sushi Dunia (WSSI) merangkap Pengetua Piala Dunia Sushi, Ogawa termasuk Duta Besar Norway, Gunn Jorid Rosel dan Pengarah Serantau Majlis Makanan Laut Norway, Asia Tenggara, Asbjorn Warvik Rortveit.
CEF Leon (kiri), Ogawa (tiga dari kiri) dan Cef Sky (kanan) tidak lokek berkongsi ilmu pembuatan sushi bersama kumpulan cef muda pada Majlis Tahunan Akademi Sushi Global di KDU), Shah Alam, Selangor pada bulan lalu.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai matlamat Akademi Sushi Global, Asbjorn memberitahu, ia merupakan platform terbaik dalam menyalurkan ilmu kemahiran membuat sushi khususnya kepada cef muda sushi.
“Hari ini misalnya, sifu sushi terkenal, Hirotoshi Ogawa dari Jepun ini bukan sekadar mendidik 20 cef yang memiliki pengalaman tiga tahun dalam pembuatan sushi mengenai seni tradisional pembuatan makanan tersebut, malah mengajar mereka teknik mengendali makanan laut mentah dengan cara yang betul dan bersih seperti ikan salmon Norway,” katanya yang turut menjelaskan Akademi Sushi Global merupakan usaha bersama Institut Kemahiran Sushi Dunia iaitu badan tunggal sushi di Jepun yang diiktiraf secara rasmi di negara terbabit.