KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menutup pelantar di luar pesisir Malaysia selain daripada yang telah menamatkan operasi penggerudian mereka atau ditangguhkan sementara berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, sebanyak 18 pelantar minyaknya masih beroperasi di perairan Malaysia.
Syarikat minyak nasional itu berkata demikian dalam kenyataan hari ini bagi mengulas laporan berita semalam yang mendakwa sebanyak 14 pelantar minyak Petronas tidak aktif dan 14 projek dihentikan.
“Petronas juga ingin menjelaskan bahawa terdapat penangguhan sementara projek di beberapa tapak kerja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.
“Pada masa ini, kebanyakan projek ini sama ada sudah menyambung semula aktiviti kerja mereka atau disambung semula tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan yang diperlukan daripada kerajaan,” katanya.
Petronas berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengurangkan impak pandemik tersebut terhadap program perbelanjaan modal (CAPEX) domestik yang dirancang.
“Bagaimanapun, kami menjangka terdapat beberapa projek akan mengalami kelewatan berikutan sekatan pergerakan yang berpanjangan di peringkat global dan PKP di Malaysia serta gangguan yang dijangka terhadap rantaian bekalan global,” katanya. – Bernama