Syed Hamid (depan dari kiri) dan Ahmad Zakiyuddin (depan, tengah) mengadakan sidang media mengenai persidangan Meja Bulat ke-17 anjuran WIEF di Bangunan JKP pada Isnin.
GEORGETOWN – Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) akan mengadakan Persidangan Meja Bulat ke-17 di Pulau Pinang bagi membincangkan strategi pemulihan mampan dalam membina ekonomi yang berdaya tahan dan stabil di peringkat nasional, serantau dan global.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berkata, persidangan tersebut akan mengetengahkan lima topik utama antaranya Revolusi Transformasi Digital, Menghidupkan Wakaf: Peranan Kewangan Islam, Hospitaliti Mesra Muslim.
Menurutnya, Pulau Pinang adalah lokasi pelaburan yang menarik dan disebabkan itu ia dipilih untuk menjadi lokasi bagi penganjuran persidangan meja bulat tersebut.
“Meja Bulat in juga akan membincangkan pelbagai peluang perdagangan dan pelaburan di Pulau Pinang.
“Ini kerana, negeri ini mempunyai banyak pengalaman dalam isu wakaf yang boleh dikongsi dengan pemain industri lain,” katanya selepas sidang akhbar The World Islamic Ecocomic Forum (WIEF) Foundation di Menara JKP di sini pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Persidangan Meja Bulat ke-17 yang bertemakan ‘Pemulihan Ekonomi: Mentransformasikan Masa Depan’ itu akan diadakan pada 27 September di Pusat Konvensyen Setia SPICE dengan lebih 300 peserta dijangka hadir termasuk pemimpin kerajaan negeri, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan usahawan dari seluruh dunia.
Tambahnya, Meja Bulat itu juga dijangka menjana minat dan kesedaran pelbagai pihak termasuk dari luar negara tentang potensi ekonomi Pulau Pinang.
“Ia juga akan meningkatkan jaringan industri serta membantu pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang serta negara ini selepas pandemik Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, pihaknya berharap sidang Meja Bulat WIEF itu akan membantu mempromosi Pulau Pinang sebagai salah satu lokasi pelaburan serta pelancongan terbaik di dalam serta luar negara.