PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) membuka tirai tahun baharu 2020 dengan memperkenal kemas kini terhadap sedan segmen A paling laris di pasaran, Perodua Bezza 2020 di ibu negara, minggu lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua Bezza 2020 ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu G, X dan AV.
“Ia masih kekal dengan penggunaan nadi 1.0 liter dan 1.3 liter,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bezza 2020 di Sentul Depot, Sentul West, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seperti yang diperkatakan ramai, Sinar Turbo melihat, perubahan ketara yang dibawakan pada kenderaan tersebut lebih bertumpu kepada reka bentuknya.
Rekaan luaran nampaknya lebih agresif dengan lampu utama yang lebih tirus, rekaan bampar yang baharu dengan perumah lampu kabus dan kemasan liang udara bersegi.
Bampar belakang turut diberikan nafas baharu. Sementara ruang dalaman pula menampilkan panel meter yang beriluminasi putih.
Antara kelengkapan asas yang ditawarkan pula termasuklah lampu utama diod, rim aloi, kit badan dengan layangan warna dwitona, kamera undur dan ciri keselamatan seperti Anti-lock Braking System dan Electronic Brakeforce Distribution.
Untuk varian tertinggi pula, Perodua Bezza kini didatangkan dengan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang merangkumi ciri-ciri berikut:
– Amaran Praperlanggaran
– Sistem Brek Praperlanggaran
– Sistem Amaran Pergerakan Hadapan
– Kawalan Kesilapan Operasi Pedal
ASA antara lain merujuk kepada sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko perlanggaran dan bukan ‘pengganti’ kepada pemanduan yang selamat.
Pendek kata, setiap pemandu perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu.
Pada varian X, model baharu itu disertakan dengan kawalan kestabilan kenderaan dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.
“Dengan bahagian atas badan yang dibangunkan sepenuhnya oleh Perodua, Bezza merupakan sedan pertama kami dan juga sedan kenderaan cekap tenaga pertama di Malaysia semasa pelancarannya pada tahun 2016,” kata Zainal Abidin.
Setiap pembelian Perodua Bezza 2020 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau jarak perbatuan 150,000 kilometer yang mana terdahulu.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Perodua Bezza 2020 dan memandu ujinya, orang ramai boleh mengunjungi pusat jualan Perodua di seluruh negara. Boleh juga layari www.perodua.com.my untuk mengetahui perkembangan terkini Perodua.
Berikut perincian untuk setiap varian Perodua Bezza 2020:
i. Perodua Bezza G
Mempunyai enjin 1KR-VE 1.0 liter, 67 kuasa kuda (hp)/91 tork nanometer (Nm) dan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan. Didatangkan dengan rim aloi bersaiz 14 inci, cermin sisi elektrik dan gril hadapan hitam berkilat dengan kemasan perak.
ii. Perodua Bezza X
Merupakan tambahan kepada ciri G, enjin 1NR-VE 1.3 liter 91hp/121Nm dan transmisi automatik empat kelajuan. Menariknya, rim aloi bersaiz 15 inci dan mempunyai sensor hadapan dan belakang.
Ia turut sempurna dengan cermin sisi elektrik boleh lipat dan tambahan ciri kawalan kestabilan kenderaan dan kawalan cengkaman. Selain itu, jentera turut diperkemas dengan gril hadapan hitam berkilat dengan kemasan krom.
iii. Perodua Bezza AV
Sebuah kenderaan dengan penarafan ASEAN NCAP bertaraf lima bintang. Memiliki sistem kemasukan pintar dengan kunci pintar dan merupakan tambahan kepada ciri X. Dilengkapi dengan butang pandu mula dan ciri ASA 2.0.
Terdapat dua warna baharu iaitu merah dan kelabu metalik, sebagai tambahan kepada warna sedia ada iaitu coklat, biru dan putih metalik.