Kenaikan disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM6.9 bilion kepada RM60.5 bilion manakala perdagangan borong juga menokok RM1.9 bilion kepada RM60.9 bilion. – Foto Bernama
PERDAGANGAN Borong dan Runcit Malaysia mencatat nilai jualan berjumlah RM136.0 bilion, meningkat sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun pada April 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 12.9 peratus atau RM6.9 bilion kepada RM60.5 bilion manakala perdagangan borong juga menokok 3.2 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM60.9 bilion.
“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit turun -1.8 peratus berikutan penyusutan bagi subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing -19.8 peratus dan -1.1 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Subsektor kenderaan bermotor pada turun 5.1 peratus kepada RM14.6 bilion, dipengaruhi oleh jualan kenderaan bermotor yang merosot -17.3 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM6.8 bilion.
Beliau berkata, selain itu jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal turut menguncup -29.8 peratus.
“Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan negatif sebanyak -19.8 peratus, disebabkan oleh kejatuhan pada jualan kenderaan bermotor dengan -33.5 peratus,” katanya.
Mohd Uzir berkata, dari segi prestasi rentas subsektor, pertumbuhan pertumbuhan subsektor perdagangan runcit mencatat 12.9 peratus pada April 2023, disokong oleh jualan runcit bagi kedai bukan pengkhususan yang meningkat 18.0 peratus atau RM3.6 bilion kepada RM23.4 bilion.
Kumpulan lain dalam subsektor tersebut yang turut merekodkan pertumbuhan positif adalah jualan runcit di kedai pengkhususan 17.4 peratus; jualan runcit bahan api kenderaan 19.6 peratus dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau 15.1 peratus.
“Kenaikan 3.2 peratus bagi subsektor perdagangan borong pula disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat sebanyak RM900 juta atau 7.7 peratus kepada RM12.1 bilion.
“Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (5.4 peratus) dan jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (5.1 peratus),” katanya.
Menurut Mohd Uzir, indeks volum perdagangan borong dan runcit pada April 2023 mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.7 peratus yang disumbangkan oleh perdagangan runcit (10 peratus) dan perdagangan borong (3.4 peratus).
“Indeks volum pelarasan musim pula meningkat 6.5 peratus bagi bulan ke bulan,” katanya. – Bernama