PENGGABUNGAN membabitkan dua syarikat terkemuka dalam bidang sawit, Boustead Plantation (BPlant) dan Kuala Lumpur Kepong (KLK) membolehkan penyatuan kepakaran operasi, selain menambah baik kapasiti kewangan.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, banyak negara yang kini bergelut dengan kelembapan ekonomi dan salah satu kaedah mengatasinya adalah melakukan penggabungan dan pengambilalihan (M&A).
Justeru katanya, mengaitkan penjualan BPlant kepada KLK dengan pelupusan aset bumiputera disifatkan tidak lebih daripada sekadar cubaan mempolitikkan urus niaga korporat.
“Saya melihatnya daripada sudut memberikan dimensi kepelbagaian aset pelaburan bagi memastikan dana kekal dinamik, berdaya saing dan mapan bagi kepentingan pencarum yang dalam konteks ini adalah Angkatan Tentera Malaysia dan Veteran.
“Penggabungan ini adalah perlu dan munasabah, jika kita faham serta meneliti butiran transaksi,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Memetik laporan Maybank IB, daripada segi nisbah pendapatan-harga (PER), harga tawaran BPlant nampaknya ‘adalah mahal’ dengan PER 66 kali ke hadapan (teras).
Di dalam industri sawit, BPlant diketahui memiliki bank tanah terbesar di negara ini dan penggabungan itu akan meningkatkan bank tanah mereka sehingga kira-kira 189,070 hektar.
Ia merangkumi kawasan matang baharu seluas 159,070 hektar dan belum matang seluas 30,070 hektar.
Tambah Wan Mohd Farid, selaku pemilik penuh Boustead Holdings Berhad (BHB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu melihat kepada gambaran yang lebih besar untuk terus mencipta nilai dan mengembalikan BHB kepada kedudukan yang lebih baik serta mampu menyumbang secara mampan kepada LTAT dan pencarumnya iaitu warga ATM dan veteran.
Justeru, beliau melihat kolaborasi strategik itu perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk memaksimumkan nilai supaya kedudukan kewangan LTAT kekal kukuh.