Pengalaman hilang dua jam, di Gunung Ulu Jernih

SELEPAS kejayaan beberapa siri Ekspedisi Sondol bukit dan gunung di sekitar Perak, kali ini Team Busut memilih gunung Ulu Jernih di Selama Perak untuk ‘diterokai’.

Ini kerana daerah kecil Selama, sememangnya memiliki pelbagai destinasi menarik namun kurang dipromosikan kepada umum.

Malah dapatan yang di perolehi, selain keindahan flora dan fauna, kawasan hutan sekitar Mukim Hulu Ijok turut menjanjikan trek yang agak mencabar khusus kepada mereka yang gemarkan aktiviti mendaki.

Sejarah Selama

Menyingkap sejarah, Kampung Selama atau dahulunya dipanggil Kampung Selamat, dibuka pada 22 Januari 1870 oleh Abdul Karim Raja Aman Shah yang pernah berkhidmat di bawah Orang Kaya Menteri Larut, Long Jaafar.

Namun begitu, sebelum kedatangan Abdul Karim, telah wujud sebuah kampung didiami masyarakat Melayu berketurunan Pattani di Kampung Sungai Bayor, kira-kira 10 kilometer dari pekan Selama.

Setelah bijih timah ditemukan di Selama, Abdul Karim telah menjemput orang berketurunan Rawa dari Sumatera serta orang Cina untuk datang ke sini bagi memajukan perusahaan tersebut.

Bertitik tolak dari situ, daerah kecil Selama terus di bangunkan sehingga berjaya mendapat pengiktirafan sebagai kawasan yang mencapai kedudukan tertinggi dalam kajian Indeks Kebahagiaan Negara.

Berbalik kepada misi sondol Team Busut ke Gunung Ulu Jernih.

Gunung yang mempunyai ketinggian setinggi 1,577 meter (5,172 kaki) ini terletak berhampiran dengan Kampung Lubok Buaya dan Kampung Masjid.

Seperti misi-misi sondol kami sebelum ini, gunung Ulu Jernih tidak mempunyai trek khusus untuk ke puncak kerana ia jarang didaki.

Atas sebab itu juga kami terpaksa melakukan sedikit pencarian dan kajian melalui internet berhubung laluan dan bentuk muka bumi di kawasan hutan tersebut serta maklumat yang berkaitan.

Antara yang menjadi rujukan kami ialah trek log dan rakaman video yang dikeluarkan oleh Mohd Faizal Samat dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL).

Setelah mendapatkan semua maklumat yang di perlukan, kami seramai 6 orang bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Selama, Perak.

Setibanya di pekan Ijok, kehadiran kami di sambut oleh Paksu Ki dan Pak Long Anuar yang merupakan penduduk tempatan di kawasan tersebut.

Memandangkan Hutan Simpan Bintang Hijau agak luas, kehadiran Paksu Ki dan Paklong Anuar pasti akan memudahkan pergerakan kami.

Paling menarik misi sondol kami pada pagi itu turut disertai pendaki cilik Muhammad Syahir Mohd Rozoki yang baru berusia 9 tahun.

‘Terkulai’ di pintu rimba

Setelah bersarapan dan menyediakan semua kelengkapan yang di perlukan kami memulakan misi pagi itu dengan bacaan doa.

Ia bagi memohon keberkatan Allah SWT agar misi kami dipermudahkan dan selamat pergi dan balik.

Di awal pendakian, laluan tidak begitu sukar kerana kami melalui kebun penduduk kampung.

Masing-masing masih mampu tersenyum lebar sambil menjamu mata melihat rimbunan pohon buah-buahan tempatan yang sedang masak ranum.

Melihat kehadiran kami, pemilik kebun yang kebetulan berada di situ turut bermurah hati memberikan setangkai buah petai yang baru di petik.

Setelah bertanya khabar dan mengucapkan terima kasih, kami meneruskan perjalanan ke pintu rimba.

Laluan ke pintu rimba agak memenatkan kerana agak menegak atau dalam istilah pendaki di panggil sebagai ‘trek pacak / pagok’

Sayup-sayup terdengar laungan suara Mohammad Farok Che Ain yang meminta agar kami berehat seketika, kerana dia merasa agak penat.

Dengan wajah yang nampak pucat, dia seakan terkulai. Manakala Norizwan Mokhles segera bertindak sebagai ‘juru kipas’ bagi membantu memulihkan keadaan Farok yang ‘pewai’ (istilah untuk penat).

Setelah berehat hampir 10 minit, Farok meminta kami agar meneruskan perjalanan, manakala dia berhasrat untuk berpatah balik.

Menurutnya dia berasa sangat lemah kerana tidak cukup tidur setelah seharian memandu.

Tambahan pula dia mempunyai masalah tekanan darah rendah dan khuatir kehadirannya bakal menyusahkan teman-teman yang lain.

Lata ke-3 tertinggi di Asia Tenggara

Tidak lama selepas melepasi pintu rimba kami tiba di Lata Air Puteh.

Mata seakan terpaku melihat keindahan air terjun tersebut yang merupakan ke-3 tertinggi di Asia Tenggara itu.

Memandangkan lokasi air terjun ini jarang dikunjungi kerana laluan yang agak jauh di dalam hutan, suasananya begitu mendamaikan.

Malah kami turut disajikan dengan pemandangan panorama yang indah di tambah dengan biasan pelangi kerana arus deras yang tinggi.

Menurut Paksu Ki selain lata ini, terdapat lima air terjun lagi di Selama, antaranya Lata Tebing Tinggi, Lata Titi Dua, Lata Panggung, Lata Damak dan Lata Rambung.

Lata Tebing Tinggi yang terletak di Kampung Ulu Mengkuang, Rantau Panjang misalnya, memiliki keistimewaan tersendiri dengan airnya yang jernih selain menyajikan pemandangan air terjun pendek.

Manakala di Lata Panggung, menjadi kegemaran pemancing ikan tengas serta mempunyai kawasan perkhemahan dilengkapi dengan kemudahan surau, dewan terbuka dan tandas awam.

Memanjat Batu Dinding

Setelah puas bergambar dan berehat, kami meneruskan perjalanan menuju ke puncak Ulu Jernih.

Ternyata cabaran yang menanti kami agak mendebarkan, kerana terpaksa memanjat tembok batu besar yang dikenali sebagai batu dinding.

Dengan hanya menjadikan akar kayu sebagai tempat memijak, kami terpaksa memanjat tembok batu yang mencapai ketinggian sekitar 50 meter itu.

Takut dan gayat silih berganti, namun bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Seorang demi seorang berjaya mengharungi cabaran tersebut.

Setelah penat berjalan kami akhirnya berhenti rehat di rimbunan pohon bertam untuk makan tengah hari.

Memandangkan perjalanan masih agak jauh, Tuan Hazlin Tuan Rosli mengunakan kesempatan itu untuk tidur seketika.

Ini kerana perjalanan menuju ke tapak perkhemahan masih agak jauh sekitar 10km lagi.

Setelah puas berehat perjalanan di teruskan dan sekitar jam 8.30 malam kami tiba di tapak perkhemahan.

Tanpa berlegah, khemah segera didirikan manakala Mohd Mukhlis Mohd Yusof bertindak selaku chef bagi menyediakan juadah makan malam.

Laksana antah lemukut, menu ikan tongkol goreng bersama ulam petai pada malam itu terasa begitu menyelerakan.

Batu, Sira Rimau

Seawal jam 7 pagi, kami meneruskan perjalanan ke puncak. Sekitar 1 jam mendaki, puncak Gunung Ulu Jernih berjaya di tawan.

Walaupun agak terlindung dek rimbunan pokok, jauh kelihatan jambatan ke-2 Pulau Pinang.

Ternyata pemandangan di puncak tidak begitu mengecewakan. Kami turut menemukan sisa ‘ketupat besi’ yang telah tumbang menyembah bumi.

Menurut Paklong Anuar, struktur besi tersebut tumbang kerana dilanggar sekumpulan gajah liar beberapa tahun lalu.

Paling menarik tidak jauh dari puncak terdapat Batu Rimau (dikatakan sebagai kawasan harimau berjemur) dan Sira Rimau (mata air panas bersulfur yang menjadi minuman haiwan liar).

Di sakat ‘penunggu hutan’

Perjalanan pulang agak mudah dan tidak begitu memenatkan kerana laluan yang menurun.

Tiba di sebatang pokok besar, aku meminta Juhaini Abdul Rahman dan Pak Long Anuar yang berada di hadapan agar meneruskan perjalanan.

Ini kerana aku ingin mengikat tali kasut yang tertanggal, tambahan pula di belakang aku masih terdapat lima orang lagi rakan kami.

Namun sebaik mengangkatkan kepala kelibat Juhaini seakan hilang dari pandangan.

Sedangkan jarak antara kami tidak terlalu jauh. Aku cuba mengejar namun mereka seperti hilang dari pandangan.

Paling pelik penanda kertas yang kami tinggalkan di sepanjang laluan ketika datang semalam turut tidak kelihatan.

Namun saat aku melaungkan namanya, seakan terdengar Juhaini menyahut panggilan tersebut.

Dengan hanya berpandukan ‘suaranya’ aku menelusuri trek tersebut sehingga tiba di sebatang anak sungai.

Pada saat ini ‘suara’ yang menyahut tadi sudah tidak kedengaran lagi.

Aku meneruskan langkah, namun semakin lama berjalan terasa sedikit aneh kerana laluan tersebut agak berbeza dengan laluan yang kami gunakan semalam.

Berulang kali aku menjerit memanggil rakan-rakan yang lain, namun hampa tanpa sebarang balasan.

Saat itu aku mula yakin laluan tersebut telah tersasar. Tidak lama kemudian sayup kedengaran laungan Pak Su Ki memanggil namaku.

Seusai membalas panggilan itu secara tiba-tiba badanku seakan longai kepenatan. Aku hanya mampu terduduk lemah di atas bongkah batu besar yang berada di samping.

Sedangkan sebelum ini aku masih bertenaga dan mampu untuk berjalan. Rupa-rupanya hampir dua jam aku ‘hilang’ dari kumpulan kami.

Menurut Paksu Ki saat melihat kelibatku di atas batu besar itu, mata aku dikatakan seperti merah menyala.

Aku kemudiannya meminta untuk berehat seketika bagi mengumpul saki baki tenaga.

Tidak jauh dari tempat aku di temui, kami akhirnya berjaya tiba di pintu rimba.

Sebaik keluar dari hutan Tuan Hazlin turut menceritakan pengalamannya ‘di ejek’ suara misteri.

Menurutnya ketika melintasi sungai di tempat aku tersasar tadi, dia seperti mendengar suara yang menyebut ‘padan muka’.

Pada mulanya dia menyangkakan Norizwan yang berada di hadapannya ingin bergurau. Namun apabila di tanya Norizwan menafikan ada menyebut perkataan itu.

Sekitar jam 6.30 petang kami semua selamat tiba di kawasan parkir kereta.

Apa yang pasti pengalaman di sakat ‘penunggu hutan’ itu, akan menjadi sebahagian kenangan manis buat kami semua.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *