Pementasan Teater ‘Kerana Percayakan Siti’ Menampilkan Bintang-bintang Terkenal Tempatan – 2024

teater

Storyteller Production, sebuah rumah produksi tempatan yang terkenal dengan penghasilan kandungan kreatif untuk platform digital dan TV, akan mempersembahkan pementasan teater kompilasi bertajuk “Kerana Percayakan Siti” pada 4 hingga 6 Oktober 2024. Pementasan ini akan berlangsung di Blackbox Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya.

Barisan pelakon yang memeriahkan pementasan ini terdiri daripada Nadia Brian, D’Boy Hamdan, Farah Ahmad, Shariah Sofia, Firdaus Karim, Swarna Naidu, dan Anwar Rusdini. Mereka merupakan nama-nama besar yang berasal dari pentas teater dan kini telah mencipta nama dalam industri seni tempatan. Dengan pementasan ini, mereka berpeluang untuk kembali ke akar mereka dan mempersembahkan bakat mereka di pentas yang memulakan perjalanan seni mereka.

Teater kompilasi ini, yang ditulis dan diarahkan oleh pengarah muda berbakat Afiza Asram, merupakan usaha pertama beliau dalam pementasan teater selepas kejayaan filem “Sa-Balik Baju” yang menduduki carta no 1 di saluran Netflix selama empat minggu berturut-turut. Afiza, seorang graduan Akademi Seni dan Warisan (ASWARA) dalam bidang teater (majoring acting), telah menghasilkan beberapa drama terkenal seperti “Kau vs Aku” dan yang terbaru, “Ke Kodiang With Love” di saluran Astro Gempak.

“Kerana Percayakan Siti” mengandungi tiga cerita yang menarik, iaitu “Perempuan Perang”, “Terang Malam”, dan “Sabalik Baju”. “Perempuan Perang”, yang pertama kali dipentaskan pada tahun 2016 dan mewakili Malaysia dalam “Program Teater 3 Negara” di Pahang pada 2017, mengisahkan Laila, seorang wanita yang terperangkap dalam konflik dan krisis selepas suaminya, Ibrahim, ditangkap kerana kesalahan sodomi. Untuk pementasan kali ini, watak Laila akan dibawakan oleh Sharifah Sofia, dengan D’Boy Hamdan sebagai Ibrahim dan Firdaus Karim sebagai Mukhtar.

Cerita “Terang Malam” akan menampilkan Nadia Brian dan Anwar Rusdini dalam peranan utama, manakala “Sabalik Baju” akan dilakonkan oleh Farah Ahmad dan Swarna Naidu.

Azuwan Ahmad, Penerbit Eksekutif Storyteller Production, mengungkapkan rasa bangga dengan barisan pelakon yang terlibat dalam pementasan ini. Beliau percaya bahawa pilihan pelakon yang berpengalaman ini adalah tepat dan mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam setiap cerita. Azuwan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atas sokongan mereka melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024, yang menjadikan pementasan ini satu kenyataan.

Tiket-tiket untuk pementasan “Kerana Percayakan Siti” masih boleh diperolehi melalui laman web www.cloudjoi.com pada harga serendah RM 60 hingga RM 100. Segala pertanyaan boleh diajukan di nombor 011-28536571 (Ahmad) dan segala maklumat terkini boleh dilayari di laman Instagram storyteller_my.