Onde-onde isi coklat, salut keju

KOTA BHARU – Walaupun terkenal dengan isi gula Melaka, namun satu kelainan dibuat Amir Juzaili Janora Aladin apabila memperkenalkan onde-onde yang berisikan coklat dan disaluti keju.

Nampak pelik, namun onde-onde coklat keju rekaan Amir mendapat sambutan yang menggalakkan dan ia merupakan sumber ilham ibunya yang mahu kuih tradisi itu dimodenkan mengikut peredaran zaman.

“Mak saya memang pandai buat kuih tradisional dan bila mak bagi idea untuk tukar gula Melaka dengan coklat dan kelapa parut dengan keju, maka saya cuba.

“Alhamdulillah, percubaan pertama tahun lalu menjadi dan saya menerima banyak tempahan daripada orang ramai yang ketika itu hanya diperkenalkan melalui laman sosial Facebook saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Amir menunjukkan onde-onde coklat keju yang baru siap dimasak di rumahnya

Amir menunjukkan onde-onde coklat keju yang baru siap dimasak di rumahnya

Percubaan ‘berani gagal’ tersebut membuahkan hasil yang positif dan untuk tahun ini, Amir mengambil keputusan untuk menjualnya di sebuah gerai yang terletak sebelum jambatan Pulau Melaka, di sini.

Anak muda berumur 33 tahun itu juga gigih menyiapkan terlebih dahulu onde-onde di rumahnya di Tanjong Chat sebelum dibawa ke gerai tersebut dalam keadaan masih panas untuk dijual.

Amir yang turut menjual onde-onde gula Melaka itu juga memberitahu walaupun penggunaan coklat dan keju agak mahal berbanding kelapa dan gula Melaka, namun kepuasan dan kenikmatan rasa itu menjadi keutamaan kepadanya.

“Saya jual RM1 untuk 4 biji onde-onde coklat keju berbanding RM1 untuk 6 biji onde-onde gula Melaka. Malah coklat dan keju yang saya gunakan juga berkualiti dan dibeli di kedai barangan kek dan roti.

“Untuk permulaan ini, onde-onde coklat keju tersebut disediakan dengan kuantiti 200 biji sehari mengikut keperluan semasa dan tempahan,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *