PROGRAM Payung Rahmah merentasi sektor peruncitan kini diperluaskan mengikut segmen keperluan khas seperti ibu dan bayi atau anak kecil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penganjuran segmen jualan berkenaan adalah dimensi terbaharu di bawah inisiatif itu.
Menurutnya, usaha tersebut mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk ditawarkan.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) amat gembira dengan perkembangan berterusan ditunjukkan pengurusan Pasar Raya Mydin di seluruh negara yang sentiasa menyokong pelaksanaan inisiatif di bawah Program Payung Rahmah diperkenalkan secara berperingkat sejak 11 Januari lalu.
Salahuddin Ayub
“Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha dilaksanakan warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.
“Program Payung Rahmah adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah sempena kempen ‘Kasih Sayang Ibu dan Si Manja’ anjuran Mydin yang diadakan di Mydin Subang Jaya, di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.
Ameer Ali
Rangkaian pemborong dan peruncitan halal terbesar tempatan itu menawarkan diskaun hebat dan peraduan menarik bagi barangan bayi sempena Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah ‘Ibu dan Si Manja’ Bersama Mydin.
Menariknya sepanjang kempen itu berlangsung, pelanggan juga ditawarkan dengan penjimatan berjumlah sehingga RM600,000 bagi barangan keperluan bayi antaranya susu formula bayi dan lampin bayi pakai buang dan barangan lain bagi jenama terlibat seperti Abbott, Carrie Junior, Drypers,Diapex, Dugro, Dutch Lady, Fernleaf, Huggies, Milna, Molfix, MY DryFirst dan Nestle Cerelac.
Jelas Ameer, kempen itu juga melibatkan pemberian pek ekonomi percuma bagi setiap pembelian susu formula bayi terpilih selama empat hari bermula 20 sehingga 23 Julai.
Salahuddin (tengah) dan Ameer (dua dari kanan) menyempurnakan gimik Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah ‘Ibu dan Si Manja’ di Mydin Subang Jaya pada Khamis. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
“Program ini akan berlangsung di semua Pasar Raya Besar Mydin di Semenanjung Malaysia sehingga 8 Ogos 2023.
“Kita menawarkan penjimatan sehingga 50 peratus bagi barangan keperluan bayi seperti pakaian, kerusi roda bayi, kereta sorong bayi, botol susu, barangan mandian bayi dan pelbagai peralatan bayi,” ujar beliau.
Jelas Ameer, Mydin juga membuat tawaran Pakej Rahmah Set Bayi (Infant) RM95 yang terdiri daripada tuala mandi, vacuum flask, lampin bayi, syampu dan mandian bayi, tisu basah serta set pakaian bayi.
Tawaran Pakej Rahmah-Set Kanak-Kanak (Toddler) pula bernilai RM150 terdiri daripada susu tepung, makanan bayi, tuala mandi bayi, vacuum flask, lampin bayi, syampu dan mandian bayi, tisu basah, set pakaian bayi, romper bayi dan botol minuman bayi.
Pengguna yang mengimbas kod QR ketika pembelian pula layak mendapatkan kod diskaun sehingga RM15 bagi pembelian yang seterusnya.
“Mydin amat dekat dengan pelanggan khususnya golongan B40 dan memahami bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari.
“Justeru itu, kami menggerakkan inisiatif bersama rakan strategik kempen ini bagi menawarkan penjimatan kepada pelanggan khususnya golongan ibu bapa,” jelasnya.