Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, program tersebut merupakan usaha yang baik untuk menghidupkan dan menghayati al-Quran.
Menurutnya, pihaknya melihat program tersebut mendapat sambutan menggalakan daripada umat Islam di negeri ini di samping mengharapkan agar usaha-usaha menghidupkan al-Quran sentiasa berterusan.
“Saya melihat hari ini sambutannya amat menggalakkan. Ia menunjukkan umat Islam sudah mula menghidupkan sunnah Rasulullah yang sentiasa menggalakkan kita berkumpul dan menghidupkan majlis al-Quran.
“Namun ada sesetengah orang mengatakan jika kita berkumpul, contohnya berkumpul malam Jumaat membaca Yasin, mengalun zikir…ia adalah bidaah sedangkan kita berkumpul untuk menghidupkan dan membudayakan suasana membaca al Quran di kalangan umat Islam.
“Majlis ini penuh baraqah dan rahmat ALLAH. Kita harapkan kalau boleh pihak penganjur mengadakan program dari semasa ke semasa kerana kita nak menghidupkan al Quran di sisi masyarakat,” katanya ketika berucap pada Program World #QuranHour Peringkat Negeri Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya berharap agar umat Islam di negara ini dapat menghidupkan solat Subuh secara berjemaah untuk mendapatkan perlindungan daripada ALLAH.
“Kalau seluruh umat Islam di Malaysia menunaikan solat Subuh kita semua akan mendapat perlindungan daripada ALLAH kerana musuh-musuh Islam cuba menguasai dan merosakkan umat Islam di Malaysia.
“Ini kerana mereka ada strategi untuk menghapuskan dan mengawal negara ini. InsyaALLAH jika kita tidak tinggal solat subuh dan lakukan secara berjemaah, susah untuk mereka untuk menghapuskan Islam di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, bagi Penyelaras Program World #QuranHour Pahang, Mohd Rozamli Mohd Razak, pihaknya bersyukur kerana program yang sudah masuk tahun keempat penganjurannya semakin meluas dan mendapat tempat di hati masyarakat.
“Dalam keadaan begini kita akan adakan program susulan berbentuk World #QuranHour supaya umat Islam dapat memahami dan berinteraksi dengan al-Quran.
“Kita bukan sekadar baca tetapi kita perlu faham dan amalkan apa yang ada dalam al-Quran dan diharap agar lebih ramai masyarakat menyertai World #QuranHour,” katanya.