Menjadi Insan Ikhlas

Menjadi Insan Ikhlas

Ikhlas yang sempurna itu apabila kita melaksanakan sesuatu kebaikan kerana ALLAH. Tidakkan bertambah keikhlasan pada saat banyak mata yang memandang dan tidak juga berkurang jika tiada siapa yang melihat.

Menurut Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, keikhlasan tidak bermatlamatkan untuk meraih penghargaan ataupun balasan, sebaliknya memasakkan tujuan hanya kerana ALLAH SWT.

Hakikatnya, ikhlas yang sebenar adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan lawannya pula adalah sifat riak. Inilah yang perlu difahami oleh semua umat Islam.

“Saya banyak diajukan soalan tentang penghargaan dalam jabatan yang tidak adil, pilih kasih dan bodek membodek kerana ingin mendapatkan perhatian serta pengiktirafan perkhidmatan cemerlang.

“Tidak dinafikan kemungkinan wujud elemen salah guna kuasa oleh golongan tertentu tetapi sekiranya kita ikhlas bekerja dengan kualiti yang cemerlang dan jauh sekali mengharapkan penghargaan, rasa kecewa sebegini tidak akan timbul. Maka, disebabkan itulah kita disarankan agar tidak mengharapkan sesuatu daripada apa yang kita buat.

“Bagi saya, keikhlasan itu sepatutnya menjadi pendinding kepada setiap orang agar lahir rasa tidak selesa pada saat diberikan pujian dan penghargaan.

“Apatah lagi bila pengiktirafan tersebut diperoleh daripada budaya bodek membodek, ampu mengampu dan salah guna kuasa,” katanya.

Tambah beliau lagi, keikhlasan itu bukan sahaja perlu dipupuk dalam kerjaya tetapi juga harus dilaksanakan ketika berada dalam masyarakat dan juga di rumah.

“Kebaikan kita tidak perlu dipamer dan dipertontonkan kepada umum. Seseorang yang berpura-pura baik itu sebenarnya munafik dan tidak ikhlas. Hanya mengharapkan populariti, kepentingan, pujian dan anugerah.

“Tanda seseorang itu mempunyai penyakit hati pula adalah terlalu memuji diri dan timbul rasa dengki serta sakit hati dengan pencapaian orang lain,” katanya.

Dalam hal ini, kata Mohd Nor, kita perlu mencontohi dakwah para Nabi, sahabat dan insan terpilih yang membawa risalah daripada ALLAH untuk disampaikan kepada umum.

Terlalu banyak dugaan dan rintangan yang dilalui mereka, namun jauh sekali untuk mengungkit dan membangga diri.

“Justeru, elakkanlah diri daripada menjadi manusia yang haus dengan pujian. Tidaklah perlu menanti orang lain memuji bacaan al-Fatihah kita bagus, hafazan kita baik, ceramah kita luar biasa dan mengharapkan ramai follower untuk bermegah. Sebaliknya, ikhlaskan hati ketika memberi dan jangan sampai memburukkan orang lain dalam berbuat kebaikan,” ujarnya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge