Badaruddin depan (empat dari kiri) bersama sebahagian peserta Malaysia #QuranHour peringkat negeri di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil pada Rabu.
MELAKA – Penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini menjadi medium untuk memberi pengertian kemerdekaan yang lebih bermakna terutama kepada generasi muda.
Penyelaras Rumah Ngaji Melaka, Atikah Amir berkata, menerusi penganjuran ini, peserta dapat mendekati al-Quran melalui baca, faham dan amal bersempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Atikah
Menurutnya, program kali ini yang memberi fokus kepada golongan muda secara tidak langsung menjadi pemangkin semangat kepada pihaknya untuk memperluaskan pengisian seperti ini di sekolah-sekolah dan kolej di negeri ini.
“Program Malaysia #QuranHour ini memberi motivasi dan semangat untuk kita bawa ke sekolah-sekolah dan kolej.
“Ini bagi membolehkan kita mendekati pemuda, remaja agar kenal apa itu al-Quran, keistimewaannya, peranan al-Quran yang menjadi asas kehidupan kita demi kebaikan dunia dan akhirat,” katanya ketika ditemui selepas Malaysia #QuranHour peringkat negeri di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil di sini, pada Rabu.
Atikah menyampaikan cenderahati kepada Badaruddin pada program itu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Badaruddin Mohd Kassim.
Tambahnya, program yang dilaksanakan sejak 2015 itu memberi peluang orang ramai dari pelbagai peringkat umur bersama al-Quran, sebagai permulaan untuk melakukan perubahan minda melalui Quran, Tadabur, Tazakkur (QTT).
“Kita juga bersyukur program yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr mendapat sambutan menggalakkan hampir 1,000 penyertaan,” katanya lagi.
Sebahagian golongan muda yang turut menyertai program Malaysia #QuranHour di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil pada Rabu.
Pada kali ini Malaysia #QuranHour yang berlangsung selama sejam membawa tema ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar.’