BERMULA dengan nama robotovat daripada bahasa Czech yang membawa maksud menghambakan diri, teknologi robotik sebenarnya sudah dibangunkan sejak tahun 1920-an lagi.
Ironinya, mesin menghambakan diri itu mampu menjadi mimpi ngeri buat pekerja sektor pembuatan seluruh dunia apabila berdepan risiko kehilangan kerja menjelang 2030 nanti.
Barangkali ramai yang tidak menjangkakan ledakan teknologi robotik mampu menggantikan lebih jutaan peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun lagi. Kedengaran agak menggerunkan, bukan?
Realitinya, ia benar-benar berlaku! Merujuk kajian yang dilaksanakan Firma Ekonomi Oxford, dianggarkan lebih 20 juta kerja sektor pembuatan seluruh dunia akan digantikan dengan teknologi robot.
Masakan tidak, peralihan teknologi masa depan bakal menyaksikan servis tenaga manusia akan bertukar tangan kepada automasi kecerdasan buatan (AI) yang lebih efisien dan pantas.
TEKNOLOGI robotik bakal menggantikan tenaga manusia untuk kerja bersifat pengulangan dalam sektor pembuatan.
Kajian Firma Ekonomi Oxford itu menunjukkan, peningkatan penggunaan teknologi robotik akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengembangkan ekonomi sesebuah negara.
“Perindustrian robotik baharu diramalkan mampu mengisi kekosongan 1.6 juta kerja kosong dalam sektor pembuatan untuk tempoh 10 tahun akan datang. Pada masa sama, situasi itu menjejaskan peluang pekerja kurang mahir.
“Ini kerana kawasan yang memiliki tenaga kurang terlatih dilihat mendorong kepada ekonomi yang lemah dan menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi sekali gus berisiko kehilangan kerja disebabkan robot,” katanya.
Perkongsian Rory Cellan-Jones, koresponden teknologi kepada bbc.com pula berkongsi banyak ramalan yang menunjukkan teknologi robotik itu akan ‘menghapuskan’ peluang kerjaya manusia.
Daripada sektor perindustrian, perkilangan sehinggalah kepada tugas seorang wartawan sekali pun akan berdepan risiko kehilangan pekerjaan, bahkan pekerja kolar putih juga terdedah kepada ancaman kemajuan automasi.
“Namun, kajian terbabit memberikan pandangan cukup berbeza.
“Apa yang ditekankan produktiviti automasi itu mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, malahan membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang kononnya ‘hilang’,” ujarnya.
Statistik kajian terbabit menemui kerja yang bersifat berulang dijangka berisiko dihapuskan. Tugasan memerlukan kreativiti, nilai kemanusiaan dan kecerdasan sosial lebih cenderung untuk ‘diteruskan’ manusia untuk beberapa dekad akan datang.
Firma itu menyarankan para penggubal dasar, pemimpin perniagaan, pekerja dan guru untuk memikirkan cara terbaik membangunkan kemahiran tenaga kerja mahir seiring penyesuaian diri dengan automasi yang semakin meningkat.
Statistik tersebut turut menunjukkan kira-kira 1.7 juta pekerjaan pembuatan diambil alih oleh robot sejak tahun 2000 termasuk 400,000 di Eropah, 260,000 di Amerika Syarikat dan 550,000 di China.
KAJIAN Firma Ekonomi Oxford menunjukkan peningkatan penggunaan teknologi robotik akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengembangkan ekonomi sesebuah negara.
China sebagai contoh antara negara maju yang cukup berani mengambil keputusan drastik membuang 60,000 pekerja kilang pembuatan peranti telefon pintar dan menggantikannya dengan robot.
Pengeluar utama peranti bagi Apple dan Samsung, Foxconn tersebut dilaporkan mengurangkan bilangan pekerja daripada 110,000 orang kepada 50,000 orang sahaja di salah satu kilangnya di wilayah Kunshan.
Menurut laporan South China Morning Post, pihak pengurusan mengesahkan kebanyakan kerja pengeluaran kini dilakukan secara automatik menggunakan kejuruteraan robotik dan teknologi pengeluaran inovatif.
“Tenaga manusia masih diperlukan walaupun terhad dan menerusi latihan juga membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada elemen bernilai tinggi dalam proses pengeluaran,” kata Foxconn dalam kenyataan kepada bbc.com.
Bank tanpa manusia
Melihat situasi berkenaan, tidak hairanlah apabila sebuah bank di Shanghai mampu beroperasi tanpa manusia. Hanya robot yang diberi nama sebagai Xiao Long atau Little Dragon diprogramkan melayani pelanggan.
Menjadi bank yang pertama di dunia menggunakan sepenuhnya teknologi robotik, automasi kecerdasan buatan itu mampu membantu memeriksa baki wang dalam akaun simpanan, menerima kad dan berbual mesra.
Menariknya, Xiao Long persis operator yang mampu berkomunikasi untuk soalan asas sebelum pelanggan dibenarkan masuk melalui pintu elektronik lengkap pengimbas wajah dan kad id.
Sebaik sahaja masuk ke dalam perut bank berkenaan, mesin juruwang automatik akan membantu untuk urusan pembukaan akaun, pemindahan atau pertukaran wang asing dengan pantas.
Dan jika timbul persoalan rumit, satu bilik khas dilengkapi Vitural Reality (VR) dan link video disediakan bagi membolehkan pelanggan bercakap dengan pegawai bank secara langsung untuk penyelesaian selanjutnya.
Hebat bukan? Kemajuan teknologi negara Matahari Terbit itu memungkinkan segala-galanya dan kadang-kadang tidak boleh diterima dek akal.
Berkongsi satu kisah menarik di theguardian.com, kebangkitan industri robot China menjadi teras utama program lima tahun Rancangan Pembangunan Industri Robotik Beijing.
Program itu menyasarkan pengeluaran sekurang-kurangnya 100,000 robot perindustrian setahun menjelang 2020, sebahagiannya hanya bertujuan untuk memulihkan sektor perkilangan negara.
Penyelidik Jabatan Sains Bumi dan Geografi Vassar College, Profesor Yu Zhou menyifatkan, perkembangan teknologi AI dan robotik di negara itu menunjukkan ketaksuban China untuk muncul sebagai pemimpin global.
“Usaha untuk meningkatkan rantaian nilai menjadi agenda utama China dalam mengembangkan teknologi robotik bahkan dilihat upah kerja semakin meningkat. Pada masa sama, terdapat kekurangan tenaga buruh peringkat akar umbi.
“Lebih baik menggantikan buruh terbabit dengan automasi dan robot. Ini kerana teknologi itu benar-benar dilihat sebagai pemangkin produk yang lebih baik, cekap dan murah, “ bicaranya.