Lafaz al-Fatihah dalam bahasa Arab

SOLAT merupakan salah satu ibadah khusus yang perlu dilaksanakan mengikut panduan wahyu. Tiada ruang untuk akal manusia menokok tambah mengikut logik atau cara fikir sendiri.

Oleh itu, Rasulullah SAW mengingatkan kita: “Solatlah kalian sama seperti mana kalian melihat aku solat.” (Riwayat al-Bukhari)

Ya, hanya para sahabat yang berpeluang melihat cara baginda solat. Maka, bagaimana dengan kita? Kita masih lagi dituntut untuk solat dengan mencontohi cara solat yang Nabi Muhammad SAW tunjukkan dengan merujuk kepada hadis-hadis yang diwariskan buat panduan kita.

Salah satu rukun solat penting yang baginda tunjukkan ialah membaca surah al-Fatihah. Solat tidak sah jika tidak membaca al-Fatihah.

Baginda berpesan: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis lain, baginda mengingatkan: “Sesiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang. Perkataan ini diulang sehingga tiga kali.” (Riwayat Muslim)

Surah al-Fatihah dan bacaan lain di dalam solat mesti dilafazkan dalam bahasa Arab. Al-Quran diturunkan di dalam bahasa Arab, maka dengan bahasa Arab ia mesti dibaca ketika solat.

Imam al-Nawawi ketika menghuraikan perkara itu menyebut: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu membacanya ialah fardu dan rukun yang ia tidak diterjemahkan kepada bahasa selain daripada bahasa Arab dan tidak boleh diganti dengan bacaan lain daripada al-Quran. Ia juga wajib dibaca dalam semua, yang fardu mahupun solat sunat.” (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283)

Justeru, tidak sah jika membaca terjemahan al-Fatihah ketika solat dalam apa jua bahasa pun, selain Arab. Inilah pendapat jumhur ulama.

Panduan kepada mualaf

Namun demikian, bagi mereka yang belum mampu membacanya seperti mualaf yang baharu memeluk agama Islam, boleh diganti dengan bacaan zikir lain seperti Subhanallah, Alhamdulilah, Allahuakbar dan sebagainya. Zikir tetap dibaca di dalam bahasa Arab. Hal itu berdasarkan apa yang baginda sebutkan kepada salah seorang sahabat:

Seorang sahabat telah datang kepada Nabi Muhammad SAW, lalu beliau berkata kepada baginda: “Sesungguhnya aku tidak mampu mempelajari sesuatupun daripada al-Quran, maka ajarkanlah aku (bacaan) apa yang memadai bagiku (selain) daripada al-Quran.” Lalu Baginda S.A.W pun menjawab: “Bacalah: Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah, Allahuakbar, La hawla wala quwwata illa billah al-‘aliyil ‘azim.” (Riwayat Abu Daud, al-Baihaqi dan Ahmad)

Namun, pada masa yang sama, usaha mempelajarinya mestilah dilakukan. Mulakan dengan belajar membaca al-Fatihah, kemudian diikuti dengan bacaan lain di dalam solat.

Tidak dinafikan, mengetahui maknanya adalah sangat penting. Agar kita faham apa yang kita baca. Ia juga adalah salah satu cara untuk kita mendapatkan fokus dan penghayatan terhadap apa yang kita lafazkan. Begitu juga dengan makna bacaan lain di dalam solat.

Peliharalah solat. Tunaikan ia mengikut sunah. ALLAH tidak menetapkan sesuatu kewajipan melainkan kadar yang kita mampu. Teruskan belajar dan belajar, sedikit demi sedikit.

***Ustaz Abd Razak Muthalib merupakan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *