SHAH ALAM – Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengharumkan nama negara apabila meraih tempat pertama bagi anugerah kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral yang Mampan (Pengedaran Mineral Bukan Logam) di 2nd ASEAN Mineral Awards (AMA) di Bangkok, Thailand.
KSSB yang mewakili Malaysia dalam kategori itu berjaya menewaskan syarikat-syarikat perlombongan lain dari rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Kewangan KSSB, Fariz Ghazali mewakili KSSB menerima anugerah berprestij itu yang diadakan di Pullman King Power Hotel, Bangkok pada Majlis Makan Malam pada 13 Disember lalu.
KSSB memperoleh sijil tempat pertama bagi anugerah kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral yang Mampan.
Fariz berkata, kejayaan diperoleh itu membuktikan KSSB diiktiraf penggiat industri perlombongan di ASEAN sebagai amalan terbaik di rantau ini.
“Kami sangat bersyukur dan berbesar hati kerana dapat membawa pulang anugerah ini ke Malaysia.
“Piawaian dan komitmen terhadap kecemerlangan dan integriti adalah kunci kejayaan kami,” katanya.
Semua finalis yang dipilih pada Ogos lalu perlu membuat pembentangan akhir di hadapan Ahli Lembaga Pengadil (BOJ) bersempena dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Bagi Bahan Mineral (ASSOM) pada 11 Disember lalu di Bangkok.
KSSB telah beroperasi sejak 2008 dan dipertanggungjawabkan dalam menguruskan pengekstrakan, pengeluaran dan pengedaran jualan pasir, bahan batuan dan sumber mineral dengan berobjektif mempromosikan operasi perlombongan pasir yang mampan di Selangor, negeri pengeluar produk pasir dan bahan batuan yang terbesar di Malaysia.
KSSB membuat pembentangan akhir di hadapan BOJ bersempena dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Bagi Bahan Mineral (ASSOM) pada 11 Disember lalu di Bangkok, Thailand.
Dengan perancangan dan strategi KSSB yang kini telah diterima serta diiktiraf dalam industri perlombongan dan pengedaran, ia kini akan mengukir satu landskap baharu di mata komuniti dan kerajaan, selain berdiri teguh bersama visi dan misi syarikat serta nilai teras asasnya.
Sebuah lagi syarikat dari Malaysia iaitu Terengganu Silica Consortium turut memenangi tempat pertama di dalam kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral yang Mampan (Pemprosesan Mineral Bukan Logam).
Sebahagian pemenang bergambar kenangan ketika ASEAN Mineral Awards kali ke-2 di Bangkok, Thailand pada minggu lalu.