Konsert Eksklusif MALIQ & D’Essentials di Megastar Arena, Kuala Lumpur! – 2024

maliq

Syarikat penganjur konsert terkenal, Kharisma Music, bakal membawa satu lagi pengalaman muzik yang mengasyikkan kepada peminat tanah air. Band jazz dan soul tersohor dari Indonesia, MALIQ & D’Essentials, akan mengadakan konsert istimewa berjudul ‘CAN MACHINES FALL IN LOVE? ALBUM TOUR’ pada 29 Disember 2024, bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur. Konsert ini dijadualkan bermula pada jam 8:00 malam.

“Kharisma Music telah berusaha keras, malah terbang ke Jakarta untuk mendapatkan hak eksklusif membawa konsert MALIQ & D’Essentials ke Malaysia demi peminat setia mereka di sini,” jelas En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music.

Band yang ditubuhkan pada 15 Mei 2002 ini pertama kali akan mengadakan konsert berskala besar di dua buah negara, iaitu Indonesia dan Malaysia. Siri jelajah ini bertujuan mempromosikan album terbaharu mereka, ‘Can Machines Fall In Love?’ (CMFIL?), yang telah dilancarkan pada Mei 2024. Album ini adalah hasil karya ke-9 mereka, menandakan 22 tahun penglibatan MALIQ & D’Essentials dalam dunia muzik. Band ini terdiri daripada Angga Puradiredja, Indah Wisnuwardhana, Widi Puradiredja, Jawa, Lale, dan Ilman Ibrahim, yang amat teruja untuk mempersembahkan konsert di beberapa kota di Indonesia sebelum mengakhiri siri jelajah di Kuala Lumpur.

“Siri jelajah ini merupakan kali pertama kami sejak lebih dua dekad berkarya. Para peminat di Malaysia boleh menjangkakan persembahan selama lebih dua jam, di mana kami akan menyampaikan lebih daripada 20 buah lagu, termasuk gubahan khas yang dilengkapi dengan pengalaman audio visual serta tata cahaya yang memukau,” kata Widi, pemain dram kumpulan tersebut.

Beliau juga menambah bahawa walaupun lagu-lagu dari album CMFIL? akan menjadi fokus utama konsert, MALIQ & D’Essentials turut menyelitkan beberapa lagu hit dari album-album terdahulu untuk memastikan konsert berjalan lancar, kerana tidak semua penonton mungkin familiar dengan lagu-lagu baharu.

Konsert ini bukan sekadar menampilkan lagu-lagu popular seperti ‘Kita Bikin Romantis’, ‘Aduh’, dan ‘Begini Begitu’, tetapi juga menawarkan peluang untuk peminat berinteraksi secara langsung dengan band ini dan meraikan perjalanan mereka dalam industri muzik selama lebih dua dekad. Mereka berharap untuk mencipta kenangan manis bersama peminat melalui persembahan yang penuh emosi dan nostalgia.

En. Ahmad Jeffny turut menyatakan keyakinannya bahawa para penonton akan terhibur dengan persembahan MALIQ & D’Essentials yang sangat dinanti-nantikan ini. “Saya berharap para pembeli tiket akan menikmati malam yang penuh romantik, ditemani alunan lagu-lagu indah yang bukan sahaja memukau, tetapi juga membangkitkan kenangan manis masa lalu,” katanya.

Tiket-tiket ke konsert ‘CAN MACHINES FALL IN LOVE? ALBUM TOUR’ sudah pun mula dijual pada 3 September 2024 lalu di laman web www.ticket2u.com/maliq&d’essentials dan terbahagi dalam beberapa kategori:

  • Begini [Standing] – RM288
  • Begitu [Standing] – RM188
  • Kita Bikin Romantis [Seated] – RM338
  • Aduh [Seated] – RM258
  • Meet & Greet [Add-On] – RM298