Konflik Palestin-Israel: Norman Hakim akui menangis setiap kali solat

Konflik Palestin-Israel: Norman Hakim akui menangis setiap kali solat

Norman bersama isterinya, Memey Suhaiza menyertai #QuranHour For Gaza di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Norman bersama isterinya, Memey Suhaiza menyertai #QuranHour For Gaza di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

SHAH ALAM – Penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis ketika ini menyebabkan pelakon, Norman Hakim, 47, tidak dapat menahan kesedihan sehingga menitis air mata setiap kali menunaikan solat.

Berkongsi perasaan itu, Norman juga mengakui berasa bimbang jika solat tidak diterima kerana hilang khusyuk apabila menenangkan nasib umat Islam di Gaza.

“Tetapi ulama menjelaskan bahawa ini merupakan satu bentuk gegaran iman.

“Kalau ALLAH SWT beri satu pilihan, saya mahu ke sana (Gaza) untuk melihat permulaan serta pengakhiran penderitaan saudara kita dengan kemenangan berpihak kepada rakyat Palestin.

“Untuk memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin, kita perlu melihat semula sejarah dan faham bagaimana permulaan persengketaan ini berlaku dengan memahami isi kandungan surah al-Insan sebagai pengukuhan karakter dalam diri,” katanya.

Norman ditemui ketika hadir bersama isterinya, Memey Suhaiza, 35, pada program #QuranHour For Gaza di Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Lebih 1,000 orang menjayakan #QuranHour For Gaza sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan mengangkat nilai kemanusiaan berpandukan solusi surah al-Insan dan tujuh surah Musabbihat.

Tambah Norman, perjuangan umat Islam perlu bermula daripada diri sendiri dan memperkukuhkan hubungan dengan ALLAH SWT.

Ujarnya, ia seperti yang dinyatakan dalam surah al-Insan iaitu sentiasa beribadah dan bersabar kerana ALLAH SWT sudah menjanjikan kemenangan akan menjadi milik umat Islam suatu hari nanti.

Jelas Norman, program tersebut merupakan mukadimah dalam memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin dan perlu diteruskan secara konsisten walaupun peperangan sudah berakhir.

“Alhamdulillah, saya rasa ini adalah satu mukadimah yang memerlukan istiqamah kerana program sebegini kita dapat lihat jarang diadakan dan kebiasaannya hanya berlangsung ketika peperangan tercetus.

“Selain melakukan infak secara konsisten, saya sentiasa memberi kesedaran kepada keluarga dan masyarakat menerusi media sosial dengan memuat naik perkembangan terkini yang berlaku di Gaza bagi memastikan mereka sentiasa cakna terhadap nasib rakyat Palestin,” ujarnya.

Sumber