Kilauan Emas kini kembali setelah sekian lama menyepi

Astro mempersembahkan kebangkitan generasi X dengan membawa bakat-bakat terbaik rakyat Malaysia berusia 45 tahun ke atas melalui program realiti terkenal, ‘Kilauan Emas 2024’. Selepas berehat selama hampir tujuh tahun, program nyanyian ini kembali untuk menghiburkan para peminat bermula 14 September 2024. Saksikan setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (saluran 105) dan strim melalui On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO, dan sooka.

Dengan tema ‘Otai Kembali Berbisa’, ‘Kilauan Emas 2024’ memberi peluang emas kepada otai tempatan untuk menonjolkan bakat nyanyian mereka yang terpendam. Bukan sekadar berbakat dalam nyanyian, para peserta juga memiliki latar belakang dan pencapaian unik masing-masing, menambahkan kepelbagaian dan keistimewaan dalam konsert utama ‘Kilauan Emas 2024’. Sebanyak 12 peserta telah dipilih melalui sesi uji bakat yang diadakan pada 3 dan 4 Ogos di SACC Mall, Shah Alam.

Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Prima, meluahkan rasa teruja, “Kami bersemangat untuk membawa ‘Kilauan Emas 2024’ kembali ke Astro demi para penonton dan peminatnya. Ramai rakyat Malaysia berusia 45 tahun ke atas yang memiliki bakat luar biasa tetapi belum mendapat pentas yang sesuai untuk menonjolkannya. Kami sediakan platform ini agar mereka boleh bersinar. Musim ini menampilkan peserta-peserta yang tidak hanya berbakat, tetapi juga merupakan ‘unsung heroes’ dengan cerita hidup mereka tersendiri, yang ingin meneroka dunia nyanyian di peringkat yang lebih tinggi.”

Tambah Norzeha lagi, “Kami percaya pertandingan seperti ini akan memberikan perhatian yang sewajarnya kepada generasi ini, mempamerkan mereka sebagai individu berbakat yang masih cemerlang dalam kehidupan. Dari seniman jalanan hingga bekas anggota tentera, setiap peserta membawa kehebatan tersendiri. Kami berharap ‘Kilauan Emas 2024’ dapat meningkatkan keyakinan dan semangat mereka, sekaligus memberi inspirasi kepada bakat-bakat otai lain untuk terus mengejar impian mereka.”

Musim kali ini mengetengahkan 12 peserta solo dari pelbagai negeri di Malaysia, termasuk Sabah, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, dan Terengganu. Peserta berusia antara 46 hingga 68 tahun ini menjanjikan persembahan yang luar biasa dan penuh inspirasi.

Kemeriahan ‘Kilauan Emas 2024’ turut diperkukuhkan dengan Kak Lina Pom Pom sebagai pengacara utama dan Joey Daud sebagai pengacara belakang pentas & diari Kilauan Emas. Bangku juri pula akan dihiasi dengan kehadiran legenda Erra Fazira dan Dato’ Hattan, bersama pelawak terkenal Roy Azman yang akan menceriakan setiap episod.

Untuk menambahkan lagi gemilang, penerbitan ‘Kilauan Emas 2024’ dijayakan dengan kerjasama Astro Gempak sebagai rakan digital, serta SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi, memastikan setiap detik pertandingan disampaikan dengan penuh gaya dan semangat kepada penonton.