Kegemukan terlampau Ayra

KISAH kanak-kanak paling berat yang tercatat dalam sejarah Indonesia, Ayra Permana memang menjadi perbualan hangat. Obesitinya sangat menakutkan apabila sudah tidak mampu duduk di atas kerusi.

Bukan sahaja media tempatan malah antarabangsa hadir membuat liputan kerana kegemukan terlampaunya.

Berdasarkan penulisan Tribun News, ketika Ayra berusia 10 tahun, beliau telah dinobatkan sebagai kanak-kanak paling gemuk di dunia apabila mempunyai berat badan 192 kilogram (kg).

AYRA lebih banyak berbaring ketika memiliki berat badan 192kg.

AYRA lebih banyak berbaring ketika memiliki berat badan 192kg.

Katakan apa sahaja, ejekan, kata-kata memerli dan dipulaukan rakan sebaya sudah tidak mampu dielakkan kanak-kanak dari Jawa Barat itu.

Namun, itu cerita dahulu, beliau yang kini berusia 13 tahun berjaya menurunkan berat badannya kepada 92kg.

Satu keajaiban, bukan? Apakah cerita di sebalik masalah obesiti yang dihadapi oleh kanak-kanak itu? Apa motivasi yang menyuntik dirinya untuk kurus?.

Dalam satu temu bual, ibu Ayra, Rokayah Soemantri berkata, anaknya semasa kecil tidak mempunyai masalah berat badan langsung.

Kanak-kanak itu juga dilahirkan secara normal dengan berat sekitar 3.8kg sahaja.

Pun demikian, pada usia lima tahun, Ayra mula menunjukkan perubahan apabila selera makannya semakin bertambah.

Suami Rokayah, Ade Soemantri Kusumah berkata, ketika berusia lapan hingga 10 tahun, berat anak mereka telah meningkat kepada 72kg.

“Ayra akan makan sebanyak empat kali sehari. Dia mampu menghabiskan makanan yang disediakan untuk dua orang lelaki dewasa. Saya terpaksa gantikan nasi dengan mee segera dan beras perang untuk memenuhi selera Ayra,” luah Ade Soemantri kepada Tribun News.

Lantaran memiliki fizikal tubuh yang cukup besar, Ayra sukar untuk tidur.

Selama tempoh berjaga iaitu dalam masa 24 jam, Ayra mampu menghabiskan 20 gelas air oren!

Berhenti sekolah

Disebabkan masalah obesiti, Ayra terpaksa berhenti sekolah.

Mana mungkin untuknya pergi ke sekolah ekoran pergerakan fizikalnya yang amat terhad. Ayra juga cepat letih, sering berasa lapar dan sukar untuk bernafas.

Dunia kanak-kanak Ayra bagaikan dirampas. Berat badannya itu membuatkan beliau hanya boleh berjalan sejauh 30 meter sahaja. Beliau juga mengalami kesukaran berdiri, berjalan dan berpakaian.

Melihat kesulitan anaknya itu, Ade Soemantri mengambil keputusan untuk membawa Ayra mendapatkan rawatan di Hospital Omni pada bulan Jun 2017.

Kes Ayra kemudiannya dirujuk di Hospital Hasan Sadikin (RSHS), Kota Bandung.

Pihak hospital telah menggerakkan satu pasukan perubatan yang terdiri daripada 13 doktor dalam bidang berlainan bagi merawat Ayra.

Setelah dikenal pasti puncanya, Ketua Pasukan Doktor RSHS, Dr Julistyo menyatakan punca Ayra gemuk disebabkan oleh sistem lapar dan kenyangnya yang tidak seimbang.

MAKIN KURUS. Ayra kini aktif bermain bola.

MAKIN KURUS. Ayra kini aktif bermain bola.

Ia berlaku sama ada gangguan genetik, tingkah laku atau disebabkan oleh sindrom Prader-Willi iaitu sindrom tidak boleh berhenti makan.

Pihak hospital telah memberikan rawatan pembedahan pintasan usus perut bagi memendekkan usus Ayra.

Dengan bantuan Pakar Nutrisi, Ade Rai, berat badan Ayra jatuh mendadak daripada 192kg kepada 97kg tiga bulan selepas pembedahan dijalankan.

Penurunan berat itu juga dibantu oleh diet yang ketat yang diamalkan oleh Ayra.

Kanak-kanak itu juga tidak dibenarkan mengambil makanan berminyak dan manis. Ayra juga perlu aktif bersukan.

Beliau tidak lagi meminta minuman manis dan hanya buah-buahan dan sayur-sayuran.

Akhirnya, seperti yang diimpikan, Ayra kembali bersekolah dan dikatakan aktif dengan sukan bola sepak.

Siapa sangka amalan gaya hidup sihat yang dijalani membuatkan anak muda itu bercita-cita ingin menjadi pemain bola sepak seperti penyerang dunia dari Brazil, Roberto Firmino.

Kisah Lelaki yang berjaya kurangkan berat badan

KES 1

Ambil mas 90 hari untuk turun berat badan

BAGI pemilik nama Zaini Amar, 35, beliau pernah memiliki berat badan sebanyak 119 kilogram pada tahun 2012.

ZAINI diet pemakanan mengikut jenis darah.

ZAINI diet pemakanan mengikut jenis darah.

**

Zaini berkata, ketika itu beliau tertekan dengan kehilangan adik kandung meninggal dunia kerana kemalangan.

“Bagi melupakan peristiwa itu saya makan dengan banyak tanpa saya menyedari berhadapan dengan obesiti dan masalah kesihatan yang teruk.

Saya juga tertekan dengan masalah bau badan dan mulut yang teruk. Bukan itu sahaja, untuk membeli pakaian baharu juga menjadi bebanan.”kata Zaini yang kini mampu mengekalkan berat badan sebanyak 88 kilogram.

Ujar lelaki itu, diet pemakanannya mengikut jenis darah. “Dengan mengetahui jenis darah seseorang itu akan tahu makanan yang patut diambil secara banyak, sederhana dan sedikit.”katanya.

KES 2

‘Saya mula amalkan diet dengan berpuasa’

BERAT badan Zaidi Mohamad, 38, mula meningkat ketika berumur 13 tahun dan pernah mencapai 109 kilogram (kg).

ZAIDI diet dengan berpuasa

ZAIDI diet dengan berpuasa

Dahulu, beliau tidak kisah akan perubahan fizikalnya itu. Namun, setelah bekerja, Zaidi mula mencari jalan untuk menurunkan berat badan.

“Saya suka bergaya dan ingin memakai baju cantik. Sejak itu, saya mula amalkan diet dengan berpuasa.

“Contohnya, dari pukul 1 tengah hari hingga pukul 8 pagi keesokannya, saya akan berpuasa. Saya akan buka puasa pada pukul 8 pagi hingga pukul 1 tengah hari,” kata Zaidi.

Amalan itu sangat kena dengan dirinya kerana akhirnya lelaki itu berjaya kurus. Kini, berat badannya hanya 78kg.

KES 3

Turunkan berat badan kerana ‘penyakit berpakej’

BERLAINAN pula dengan kisah Mohd Redzuan Azmi, 36. Beliau terpaksa menurunkan berat badan kerana faktor kesihatan.

Beratnya naik secara mendadak setelah mendirikan rumah tangga sebanyak 110 kilogram.

MOHD REDZUAN aktif bersenam di gimnasium

MOHD REDZUAN aktif bersenam di gimnasium

Pada mulanya, Mohd Redzuan tidak kisah, namun, setelah diuji dengan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, gout dan masalah jantung, beliau mula mencari alternatif.

“Saya tidak mahu bergantung kepada ubat untuk mengubati penyakit. Rakan-rakan menasihati saya supaya bersenam dan turunkan berat badan,” jelasnya yang memilih untuk pergi bersenam di gimnasium.

Setelah beberapa tahun, berat badan lelaki itu turun sebanyak 85 kilogram.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *