JUALAN perdagangan borong dan runcit Malaysia sekali lagi mencecah jualan tertinggi dalam rekod pada November 2021 mencatatkan RM118.1 bilion, peningkatan 7.0 peratus tahun ke tahun, mengatasi paras yang dicapai bulan lepas sebanyak RM116.2 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam perdagangan borong dan runcit itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 6.8 peratus atau RM3.6 bilion kepada RM56.3 bilion pada November 2021.
“Perdagangan runcit juga berkembang 6.7 peratus atau RM3.0 bilion kepada RM47.8 bilion. Dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor meningkat 8.6 peratus atau RM1.1 bilion kepada RM13.9 bilion,” katanya dalam satu kenyataan prestasi perdagangan borong dan runcit, yang dikeluarkan pada Selasa.
Untuk perbandingan dengan bulan sebelumnya, beliau berkata, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 1.6 peratus, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi termasuk perjalanan rentas negeri bermula 11 Oktober 2021.
Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan subsektor perdagangan borong adalah sebanyak 6.8 peratus pada November 2021 disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 7.6 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM22.1 bilion.
“Ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau dengan 11.2 peratus untuk merekodkan RM11.4 bilion,” katanya.
Jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup juga meningkat 15.5 peratus kepada RM4.7 bilion, didorong oleh harga komoditi yang lebih tinggi.
“Bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, jualan subsektor ini meningkat 1.0 peratus,” jelasnya.
Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, beliau berkata, kenaikan 6.7 peratus itu disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan peningkatan 9.9 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM17.7 bilion.
Sementara itu, kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit bahan api kenderaan (18.2 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (6.4 peratus), jualan runcit makanan, minuman dan tembakau 9.1 peratus, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (28.4 peratus), jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi 4.5 peratus, jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi (0.8 peratus), dan jualan runcit di gerai dan pasar (11.6 peratus).
Bagaimanapun, beliau berkata, jualan runcit di kedai khusus kekal negatif untuk bulan keenam berturut-turut untuk mencatatkan -1.0 peratus.
“Bagi perbandingan bulanan, perdagangan runcit meningkat 3.4 peratus dengan semua kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif,” katanya.
Di samping itu, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan 8.6 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang terus mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.8 peratus atau RM0.9 bilion kepada RM8.1 bilion.
Ini diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal dengan 9.4 peratus mencatatkan RM1.2 bilion.
Selain itu, jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga kembali positif untuk merekodkan pertumbuhan masing-masing 2.9 peratus dan 4.0 peratus.
“Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini menurun -1.9 peratus disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor yang mencatatkan -10.4 peratus,” katanya.
Mohd Uzir berkata, indeks jualan runcit melalui Internet merekodkan pertumbuhan 21.0 peratus tahun ke tahun (Oktober 2021: 20.7 peratus) manakala bagi pelarasan musim, indeks ini meningkat 5.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Sementara itu, bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.9 peratus.
Ketua Perangkawan turut memaklumkan pengembangan itu disumbangkan oleh kenderaan bermotor yang meningkat 5.2 peratus, diikuti oleh perdagangan runcit dengan 3.3 peratus.
Dalam pada itu, perdagangan borong juga mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.4 peratus sementara itu, indeks volum pelarasan musim meningkat 1.6 peratus bulan ke bulan. – Bernama