JKN Johor terima 2,000 naskhah al-Quran

JOHOR BAHRU – Pengisian rohani dengan membaca al-Quran ketika berdepan ujian terutamanya mereka mendapat sakit dapat membantu memenangkan jiwa selain sebagai ikhtiar penyembuh pelbagai penyakit.

Seiring dengan itu, Projek Wakaf al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, Majlis Dakwah Negara dan Solidariti Ummah untuk Ummah adalah bertepatan apabila mewakafkan 2,000 naskhah al-Quran untuk Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu berkata, Projek Wakaf al-Quran ini dapat mengukuhkan lagi sifat kecintaan terhadap al-Quran terutama kepada pesakit yang sedang ditempatkan di wad-wad hospital.

“Kita berharap dengan program seperti ini pesakit-pesakit yang ditempatkan di hospital dapat mengisi masa dengan menghayati dan membaca al-Quran sekaligus menjadi terapi atau penawar sebagai ikhtiar menyembuhkan penyakit.

“Al-Quran yang diwakafkan ini juga mempunyai terjemahan dalam bahasa Melayu dan ini memudahkan kita untuk menghayati lebih mendalam,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan 2,000 naskhah al-Quran kepada JKN Johor di Hospital Permai di sini hari ini.

Hadir sama ialah penyelaras yang juga merangkap Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor, Roziah Kamal.

Dr Aman berkata, di setiap hospital mempunyai Hospital Pesakit Badan yang mana ada pegawai agama masing-masing menguruskan soal-soal mendalami ilmu agama.

Katanya, dengan adanya Projek Wakaf al-Quran ini dapat sama-sama mencintai al-Quran bukan untuk pesakit sahaja malah semua petugas kesihatan yang mempunyai masa terluang.

Sementara itu, Roziah berkata, penyerahan naskhah al-Quran ini di negeri ini merupakan sebahagian Projek Wakaf al-Quran yang berlangsung di seluruh negara membabitkan 40,000 naskhah al-Quran.

“Di Johor, tiga daerah sudah diserahkan iaitu Tangkap, Batu Pahat serta Kluang dan hari ini kita serahkan kepada JKN untuk diagihkan kepada daerah-daerah yang belum diterima,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *