Program ini akan diadakan di lokasi utama Kompleks Islam Tuanku Muhriz,Universiti Sains Islam Antarabangsa (USIM) bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 1 petang, dan disusuli dengan solat Zohor.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata pihaknya sentiasa menyokong usaha keagamaan seperti ini bagi memartabatkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat.
Katanya, program yang dianjurkan ini sangat baik kerana ia mampu membentuk sebuah landasan solidariti Ummah di bawah naungan al-Quran.
“Kita sentiasa menyokong penuh usaha ini, kerana ia adalah amalan yang sangat mulia dan boleh membantu melahirkan Muslim yang sejati.
“Pemilihan surah al-kahfi pada tahun ini dilihat sangat bertepatan dan bersesuaian dengan keadaan semasa, yang mana surah ini membawa penceritaan sesuatu peristiwa yang besar dan luar biasa hebatnya.
“Saya mengharapkan melalui penghayatan isi kandungan surah ini nanti dapat membantu kita dalam usaha mensejahterakan Ummah pada zaman yang penuh mencabar ini,” katanya ketika ditemui di Pejabat Mufti, Menara Majlis Agama Islam Negeri, semalam.
Datuk Mohd Yusof (tengah) bersama sebahagian kakitangan Jabatan Mufti Negeri menunjukkan tanda sokongan terhadap program World#QuranHour yang akan berlangsung pada 30 Mei ini.
Hadir sama, Pengerusi Rumah Ngaji Negeri, Gharizah Hashim.
Sementara itu, menurut Gharizah, penganjuran world#QuranHour ini menjadi asas kepada penyatuan Ummah tanpa mengambil kira perbezaan kedudukan, latar belakang, ideologi, fahaman politik, ras etnik mahupun agama, pemimpin mahupun rakyat.
Katanya, al-Quran adalah titik temu kebangkitan dan penyatuan Ummah hingga lahirnya sebuah dunia yang hebat, berbudi dan penyayang.
Pada tahun ini, surah al-kahfi, surah ke 18 dipilih sebagai panduan menghadapi zaman yang penuh cabaran,bersatu untuk membentuk ummah yang berbudi dan penyayang dalam menangani dan melahirkan solusi terhadap empat cabaran sejagat iaitu keyakinan, harta, ilmu pengetahuan dan kekuasaan.
Gerakan #QuranHour telah bermula pada tahun 2015 di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas iaitu program satu jam bersama Al-Quran sebagai sebuah permulaan untuk melakukan perubahan minda melalui Quran, Tadabbur, Tazakkur (QTT), mengambil nilai-nilai dari al-Quran sehingga lahir akhlak sebagai Muslim sejati.
Masyarakat sekitar Negeri Sembilan dijemput ke kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM dan bersama-sama memeriahkan World#QuranHour pada bulan yang mulia ini.