BARANGKALI sudah termaktub rezekinya di situ. Dek kerana obses dengan imej grafik pada sehelai kemeja-T mendorong pemuda ini mereka cipta desain tersendiri.
Umpama sentuhan magis, Hafiz Abdul Hadi kini mampu membina empayar jenama Monkey Apparels merentasi Asia Tenggara sejak 2013 lagi.
Menurut ejen insurans yang berusia 36 tahun itu, keghairahan mereka cipta imej grafik yang unik dan ‘rare’ cukup mendalam pada dirinya, lebih-lebih lagi tidak ramai yang menonjol dalam industri pembuatan baju dengan identiti jenama tempatan.
“Saya lihat di Malaysia jarang ada jenama lokal yang mereka imej grafik. Kebanyakan fesyen baju termasuk kemeja-T diambil daripada jenama luar negara untuk dipromosikan.
“Atas justifikasi itu, saya terpanggil untuk meneruskan misi memastikan golongan muda zaman sekarang menghargai karya dan artis grafik tempatan,” luahnya kepada e-Trend baru-baru ini.
IDEA dan sentuhan imej grafik dengan jenama c membuatkan Hafiz memiliki peminat tersendiri
Minat dalam mencipta imej grafik bermotifkan haiwan tersebut turut dikongsikan bersama kenalannya, Budi Eka Fitri yang juga seorang pereka kaligrafi berasal dari Indonesia.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, pada awalnya mereka saling tidak mengenali dek batasan dua benua susulan Budi menetap di negara seberang, namun laman sosial dan minat yang sama mendekatkan jurang.
“Sebelum ini, kami sering berkongsi pandangan dan idea mengenai imej grafik yang ada melalui Instagram. Apabila masing-masing serius, kami putuskan untuk bergabung mengembangkan jenama Monkey Apparels.
“Masih ingat lagi, pertemuan pertama kami di Masjid India, Kuala Lumpur dulu untuk perbincangan lanjut. Bila ada minat yang sama, jadi misi untuk membuat kemeja-T dengan rekaan tersendiri memang tiada masalah,” bicaranya.
Eksklusif
Mengulas lanjut mengenai idea unik, anak jati Johor itu berkata, pada mulanya rekaan imej grafik pada kemeja-T itu direka sendiri oleh mereka berdua sebelum memiliki tujuh pereka yang bertempat di Kuala Lumpur dan Jakarta.
“Selalunya bila dapat idea, saya akan buat lakaran imej baharu sebelum serahkan kepada pereka untuk buat. Memang kena ada proses approval setiap kali sketch siap sebab saya cukup mementingkan kualiti.
“Kami juga menerima penyertaan pereka dari Filipina dan New York sekali gus menjadikan jenama Monkey Apparels dikenali seluruh dunia,” ujarnya yang setiap rekaan yang dihasilkan terhad kepada 50 helai sahaja.
REKAAN imej grafik kemeja-T keluaran Monkey Apparels cukup rare dan mendapat sambutan menggalakkan.
Setiap edisi katanya, hanya untuk tempoh tertentu sahaja dikeluarkan dengan jumlah terhad kerana mahu memberikan nilai eksklusif kepada pelanggan yang menghargai karya Monkey Apparels.
“Edisi keluaran sebelum ini seperti Gorillas Goes To School, Nail Nerd Skull, Raging Tiger dan Turtle Gone Mad mendapat sambutan cukup memberangsangkan. Kami tidak menyangka keluaran itu memiliki peminat tersendiri.
“Varian terbaharu, The Piece of Eden, The King of War, The Little Fighter (edisi khas untuk mengutip dana buat pesakit kanser, Adik Maliq Aryan) dan Nightly Owl. Kami masih mengekalkan imej haiwan bagi menterjemahkan usaha keras, dedikasi, idea dan rekaan kami kepada semua,” katanya.
Hafiz yang juga ketua latihan dan jaminan kualiti sebuah syarikat swasta itu tidak menafikan pihaknya cukup bangga dengan jenama yang dibawa kerana setiap rekaan membawa aura tersendiri.
VARIAN Monkey Apparels terbaharu, Nightly Owl yang lebih feminin.
“Setiap rekaan memang lain daripada yang lain dan imej grafik yang dipaparkan membawa banyak maksud berbeza. Jika dulu fokus kepada orang muda, tetapi kini pasaran berubah apabila golongan profesional dan pertengahan umur pun meminati jenama kami.
“Kemeja-T itu sesuai digayakan sebagai outfit of the day (OOTD) supaya si pemakai nampak lebih cool dan santai,” ujarnya yang memaklumkan harga dijual pada RM75 sehingga RM85 termasuk kos penghantaran pos.